PETALING JAYA: Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah yang terjadi kepada Fahmi Masri Rahimi, 22, peniaga ayam percik di bazar Ramadan Taman Budaya, Batu Pahat, Johor yang menjadi bualan hangat netizen dek kerana berbadan sado dan memiliki rupa paras yang menjadi kegilaan wanita di luar sana. Menurut Fahmi atau lebih mesra disapa sebagai Kimie, dia tidak menyangka gambarnya yang sedang membantu dua sahabatnya, Mohd Shaik Hafizi Kamisan dan Mohd Arif Rejab berniaga sejak awal ramadan lalu menjadi viral. "Saya terkejut sebenarnya, tak pernah terfikir akan sampai ke tahap begini. Alhamdulillah tak sangka pula Allah bagi rezeki macam ni kat saya," katanya ketika dihubungi mStar Online. Jelas Kimie, niat asalnya hanyalah sekadar suka-suka untuk membantu dua sahabatnya itu berniaga pada sebelah petang memandangkan dia mempunyai masa terluang selepas selesai tugas sebagai pomen motor. "Saya tolong kawan-kawan sebenarnya. Boleh kira ini kerja part time saya. Sebelah pagi saya kerja sebagai pomen motor, petang saya berniaga ayam percik tapi tak sangka gerai kami dapat sambutan," katanya. Jejaka kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata sejak insiden 'viral' itu, menu ayam percik yang dijual pada harga RM2.50 secucuk itu mendapat sambutan luar biasa. Kimie (kanan) mula membina badan sejak pertengahan 2014. "Alhamdulillah, semua habis. Makin hari tak menang tangan dibuatnya. Dah busy macam peniaga bazar Ramadan di KL," selorohnya. Ditanya mengenai rahsia badan sadonya, Kimie berkata dia tidak selalu pergi ke gim seperti individu lain yang obses dalam memiliki badan berotot. "Saya pergi gim kadang-kadang kerana faktor kekangan masa. Makan pun saya tak pantang sangat, saya belasah je apa yang ada. "Cuma lepas makan tu saya pastikan buat workout. Hari-hari saya akan senggayut kat pintu rumah. Buat bumping, pull up dan push up, itu memang wajib," katanya. Kimie berkata walaupun berbadan sado, dia tidak pernah menyertai sebarang pertandingan bina badan kerana dirinya seorang pemalu dan ia dilakukan semata-mata untuk kepuasan diri. "Saya mula workout sejak pertengahan 2014, sekadar untuk suka-suka. Tak ada masuk mana-mana pertandingan sebab saya ni pemalu yang amat," katanya. Memandangkan dia kini sudah dikenali ramai, Kimie turut menyimpan hasrat untuk membuka gerai ayam perciknya sendiri pada masa akan datang. "Insya-allah jika ada rezeki lebih, saya mahu buka gerai jual ayam percik. Bukan senang nak berniaga sekarang, semuanya kerana kuasa viral. Daripada seorang pomen saya kini dikenali sebagai abang sado jual ayam percik," katanya. Malah, Kimie berkata, pengunjung yang datang ke bazar Ramadan mereka akan mengajaknya untuk berswafoto. "Ramai yang ajak selfie, dah macam artis pula rasanya" katanya.