KUALA LUMPUR: Kira-kira 206 ketul ganja bernilai RM1 juta dirampas dalam serbuan di Klang dan Kajang. Lima suspek termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama elemen Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) pada 7 Jun lalu. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata ketulan ganja itu diseludup masuk ke dalam negara dari Thailand. "Kami percaya mereka telah beroperasi sekian lama. Ganja itu untuk pasaran di Malaysia," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Sabtu. Beliau berkata kereta bernilai RM304,000 antara turut dirampas dalam serbuan tersebut. Mohd Mokhtar berkata mereka yang ditahan merupakan saki baki anggota sindiket yang ditahan pada Mac lalu di Sungai Petani, Kedah. "Kami berikrar akan menangkap baki anggota kumpulan itu dan kami tetap berpegang kepada janji ini. "Jika ada anggota lain sindiket itu yang masih bebas, kami akan memburu mereka," katanya. Tegas Mohd Mokhtar, tangkapan itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama erat antara polis dan orang ramai.