suria

Awas! Drama Mati Tanpa Jenazah

Kuan Chee Heng.

PETALING JAYA: Mati tanpa mayat, bunyinya kedengaran seram tetapi ia sebenarnya adalah taktik penipuan segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan di atas belas ihsan orang lain.

Menolong orang lain dalam kesusahan sudah menjadi ‘darah daging’ buat Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng, tetapi ia bukan bermakna setiap bantuan yang diajukan kepadanya perlu dipercaya bulat-bulat.

Chee Heng pada Sabtu malam memberi amaran kepada mereka yang cuba menipu dengan menggunakan alasan kematian untuk mendapat bantuan wang.

Bercakap kepada mStar Online, Chee Heng berkata, beliau menerima banyak panggilan dan mesej yang memohon bantuan kewangan termasuk kos pengebumian.

“Yang terbaru, ada seorang wanita minta sumbangan sebanyak RM2,000 untuk menguruskan pengebumian anak perempuannya.

“Bila saya minta pengesahan sijil kematian atau rekod berkaitan, dia enggan memberikannya. Bila saya menghubunginya, terus tidak dijawab atau respons. Tindakan wanita ini memang mencurigakan,” katanya.

Chee Heng berkata, antara lain apabila seorang wanita menghubunginya meminta bantuan RM100 untuk digunakan sebagai kos perbelanjaan dari Temerloh, Pahang ke Johor bagi melihat mayat adik perempuannya.

“Dia cakap sampai menangis lagi minta simpati. Tapi bila saya minta nombor telefon untuk mengesahkan kematian itu, dia terus mendiamkan diri dan semua mesej yang saya hantar tidak dijawab.

“Jangan main-main pasal kematian untuk mendapatkan wang. Kalau betul-betul susah, minta bantuan dengan cara baik, bukannya menipu,” katanya.

Menurut Chee Heng, ia bukanlah kejadian pertama orang awam cuba menipu dengan menggunakan alasan kematian untuk mendapat bantuan.

“Sebelum ini dah banyak kali, tetapi sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Kalau dalam 100 bantuan berkaitan dengan kematian, 10 daripadanya cuba menipu,” katanya.

Chee Heng mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta sijil kematian, rekod polis atau perubatan sebagai rujukan dan pengesahan.

"Bukan semua bantuan berkaitan kematian itu tidak sahih kerana ada yang benar-benar berlaku, jadi adalah lebih baik sekiranya bantuan diberikan kepada mereka yang selayaknya.

“Kita mungkin berjaya tipu manusia, tetapi kita tidak akan berjaya menipu Tuhan. Bagi saya, balasannya di dunia dan di akhirat. Jadi, jangan sesekali cuba menipu," tegasnya.

Kuan Chee Heng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain