suria

Golek Lagi Cantiklah!

JIKA ayam dan kambing golek sesuatu yang biasa kita dengar, namun inovasi yang dihasilkan menjelang Aidilfitri kali ini tentu menarik perhatian ramai.

Untuk raya tahun ini, apa kata kalau anda cuba makan lemang golek pula dan ternyata ia kini menjadi 'bualan' di media sosial.

Istimewanya lemang ini, ia tidak perlu dialihkan secara manual menggunakan tangan ketika dibakar, sebaliknya, ia akan berpusing-pusing dengan sendirinya menggunakan mesin yang direka khas, satu hasil ciptaan yang wajar mendapat pujian.

Individu kreatif yang memperkenalkan kaedah ini adalah Abdullah Sani Khamai, 47.

Menurut Abdullah Sani, ini merupakan tahun pertama beliau memperkenalkan mesin golek lemang ini kepada pelanggannya.

"Memang saya dapat idea ni dari konsep masak ayam golek.

"Kebetulan saya ada bengkel sendiri dan buat kerja pertukangan, jadi saya cuba buat mesin ini," katanya kepada mStar Online.


Menurut Abdullah Sani, lemang yang dimasak menggunakan mesin rekaannya ini banyak membantunya dalam menghasilkan lemang berkualiti, selain dapat mengurangkan kos gaji pekerja.

"Masaknya lebih cantiklah, sekata, ramai pelanggan puji.

"Ia boleh elak masalah kerak, sebab cara manual alihkan guna tangan kalau terlebih masak lemang akan jadi berkerak," katanya yang mula berniaga pada Sabtu lalu dan akan terus membuka gerai sehingga penghujung Syawal.

Abdullah Sani yang sudah 16 tahun menjual lemang lebaran ini berkata, pelanggan tidak perlu risau dengan harga lemangnya kerana ia tidak dinaikkan walaupun menggunakan dapur pusing yang digerakkan menggunakan elektrik.

"Harganya sama RM13, kalau saiznya kecil kita panjangkan, kalau saiz besar lemangnya lebih pendek," katanya.

Bercerita lanjut mengenai mesin ciptaannya, beliau berkata, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan menelan kos sebanyak RM5,000.

Katanya, setakat ini beliau hanya mempunyai satu dapur penggolek lemang dan menjelang malam raya beliau terpaksa menggunakan dapur manual kerana menjangkakan permintaan akan meningkat.

Begitu juga bilangan pekerja yang akan ditambah kepada 13 orang berbanding hanya tiga orang pada hari biasa.

"Sebenarnya sebelum ini pun saya gunakan dapur istimewa yang boleh ditolak dan ditarik keluar, cuma lemangnya tak berpusing sendiri.

"Sekali bakar, ia mengambil masa lebih kurang dua jam dan 36 batang lemang dapat dimasak," katanya.

Lemang istimewa ini boleh diperolehi di gerai Lemang Lebaran yang terletak di Kampung Jawa, Klang, bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Abdullah sani berkata, selain orang Melayu, lemangnya juga digemari pelanggan berbangsa Cina dan India.


lemang, lemang golek, Kampung Jawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lemang Naik Harga Tak?

Artikel Lain