suria

Hanya Mampu Lihat Dia Dipukul...

Previin turut diserang sekumpulan remaja dalam kejadian itu.

GEORGE TOWN: T. Previin hanya mampu melihat rakan baiknya, T. Nhaveen, 18, dipukul oleh sekumpulan remaja kerana tidak terdaya untuk membantu.

Dia sendiri turut diserang kumpulan pembuli itu dan mengalami beberapa kecederaan di bahagian muka tetapi berjaya melarikan diri.

Dia kemudiannya bergegas ke rumah Nhaveen bagi mendapatkan bantuan.

Nhaveen yang dikenalinya sejak sekolah rendah, ditemui tidak sedarkan diri akibat dipukul dan kini berada dalam keadaan koma.

Menurut doktor, rakannya itu turut diliwat dan selain terdapat kesan lecur di bahagian belakang badannya.

Mengimbas kembali insiden tersebut pada tengah malam Ahad, Previin, 19, berkata, mereka baru selesai makan di gerai burger di Bukit Gelugor dan Nhaveen diusik dua remaja sewaktu mereka mahu beredar.

"Dia selalu mengadu kepada saya mengenai salah seorang daripada mereka, yang juga bekas rakan sekolahnya, dan beberapa yang lain sering membuli dia.

"Mereka akan menengking dia dengan kata-kata kesat tetapi dia tidak mahu berdepan dengan mereka dan sentiasa cuba mengelakkan pergaduhan daripada berlaku," ujar Previin di hospital pada Selasa.

Oleh kerana terus diusik di gerai itu, Previin tampil berdepan dengan mereka dan mempersoalkan mengapa mereka sering membuli Nhaveen.

"Saya mengangkat tangan seolah-olah mahu menampar mereka. Saya tak lakukannya tetapi ia telah membangkitkan kemarahan mereka," katanya.

Katanya, salah seorang daripada remaja terbabit membuat panggilan telefon dan kemudian lebih ramai yang datang dengan menaiki motosikal.

"Mereka mula memukul kami dengan menumbuk dan menggunakan topi keledar, tetapi Nhaveen tidak melawan," kata Previin.

"Saya berjaya melarikan diri dan segera ke rumah Nhaveen dan memberitahu bapa saudaranya mengenai apa yang berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu," katanya.

Previin berkata, dia telah dimarahi ibu bapanya di atas kejadian berlaku, tetapi dia bersyukur tidak dipersalahkan oleh keluarga Nhaveen.

"Saya sangat sedih. Saya harap Nhaveen akan pulih," katanya sambil menyifatkan Nhaveen sebagai seorang yang baik dan peramah.

Mata kanan Previin masih kemerahan dan mengalami bengkak akibat dipukul.

Dia akan menjalani pembedahan pada Khamis.

Nhaveen kini bergantung kepada mesin sokongan hayat di unit rawatan rapi di Hospital Pulau Pinang.

Nhaveen, Previin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain