GEORGE TOWN: Ibu tunggal Mydin Pathmah Os Abdul Kader, 50, memahami perasaan pihak yang menjalani hidup dalam keadaan susah. “Saya membesarkan lima anak seorang diri. Setiap Ramadan, saya dan anak-anak akan berbuka puasa di majlis buka puasa. “Sebagai ibu, saya ingin anak-anak mendapat hidangan yang lengkap, tetapi saya tidak mampu memberinya. “Jika tiada majlis buka puasa, kami akan berbuka dengan biskut,” kata pengasas dan presiden Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (Perjuanita), sebuah organisasi yang memberi bantuan pada ibu-ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. Mydin Pathmah, yang telah berkahwin semula berkata, apabila hidupnya semakin baik, dia mula berfikir untuk membantu masyarakat. “Apabila anak-anak sudah dewasa, saya menubuhkan sebuah NGO untuk membantu mereka yang memerlukan. “Saya tahu perasaan itu kerana saya pernah berada di situasi yang sama. “Oleh itu, saya mengasaskan Perjuanita empat tahun lalu,” katanya ketika majlis rumah terbuka di premis Persatuan Islam Bersatu di Jalan Transfer baru-baru ini. Lebih kurang 250 orang dari golongan susah dan keluarga ibu tunggal berbuka puasa di majlis itu. Perjuanita juga menyalurkan RM50 kepada setiap 70 tetamu dan hamper makanan bernilai RM50 kepada keluarga-keluarga tertentu. “Itu adalah peluang untuk saya menemui keluarga yang susah dan kerana saya seorang ibu tunggal, kami menjadi kawan baik,” katanya yang pernah menjadi sukarelawan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mydin Pathmah berkata, Perjuanita telah ditubuhkan dengan kerjasama 15 rakannya dan mereka mempunyai 30 ibu tunggal, warga emas dan OKU yang kebajikan mereka dijaga. “Kami akan bantu mereka jika mereka menghubungi kami, tetapi mereka bukannya sentiasa memerlukan bantuan. “Kebiasaannya, mereka memerlukan pertolongan untuk membayar sewa atau bekalan makanan untuk bulan itu. “Kadang-kadang, saya membayarnya sendiri atau saya menemui penyumbang untuk meminta bantuan,” katanya. Mydin Pathmah sudi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan ibu tunggal ini boleh dihubungi di talian 016-3741806.