suria

Kematangan Qatar Terbukti Di Sebalik Krisis Diplomatik

SAAT menulis cerita aku untuk kali ini, isu putusnya hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan sekutunya dengan Qatar telah memasuk hari yang ke-12. Setakat hari ini, sebanyak 10 negara telah mengambil tindakan mengikut Saudi.

Pada hari kedua pemutusan hubungan diplomatik ini, Filipina secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan melarang mana-mana rakyatnya untuk pergi ke Qatar. Mana-mana rakyatnya yang bekerja dan pulang dari Qatar tidak dibenarkan kembali ke sini.

Keputusan ini mendatangkan pelbagai reaksi daripada rakyat Filipina. Rata-rata semuanya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, dan pada hari yang keempat larangan itu ditarik balik.

Persoalannya, kenapakah ia berlaku dan apakah punca yang mencetuskan ribut dalam hubungan antara negara itu?

Banyak maklumat yang boleh didapati dan kebanyakannya menceritakan hal yang sama. Tidak kurang juga spekulasi dan bermacam-macam teori konspirasi yang turut berkemundang.

Banyak berita mengenai isu ini hanya menceritakan hal-hal permukaannya sahaja. Hakikatnya, sebesar mana aisberg yang bersembunyi di bawah lautan itu masih tidak kita ketahui.

Namun di sebalik semua itu, aku agak terkesan dengan laporan media yag bercerita tentang 5,000 rakyat Malaysia terkandas di Qatar dan tidak dapat pulang beraya. Berita ini bagi aku tidak tepat, malah menyesatkan.

Pertama sekali, memang betul ramai yang terkandas. Ini ekoran negara-negara yang memutuskan hubungan diplomatik seperti Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain juga menutup kaunter penerbangan mereka, selain menutup ruang udara mereka untuk Qatar.

Oleh itu, mana-mana penumpang yang telah membeli tiket penerbangan dari syarikat naungan tiga negara tersebut seperti Air Arabia, Egypt Air, Etihad, Fly Dubai dan Emirates, tiket mereka dibatalkan dan pulangan penuh diberikan.

Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan Qatar Airways. Qatar Airways tetap beroperasi seperti biasa. Cuma, penerbangan mereka ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan UAE terpaksa dibatalkan atas isu yang sedang berlaku sekarang.

Penerbangan ke negara Asia seperti Malaysia, Singapura, India, Thailand, Pakistan, Filipina, Jepun dan lain-lain tetap diteruskan.

Oleh itu mereka yang tiketnya telah dibatalkan, tiada isu yang besar muncul. Apa yang mereka perlu buat ialah, membeli tiket Qatar Airways bagi menggantikan tiket mereka yang telah dibatalkan itu. Itu sahaja.

Terdapat syarikat penerbangan selain Qatar Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di sini, seperti Pakistan Air, Oman Air, Iran Air, Kuwait Airways dan lain-lain yang tidak menutup kaunter dan pejabat mereka.

Apakah ada sebarang kesan ekoran isu ini terhadap syarikat pernbangan Qatar Airways yang bertaraf lima bintang itu? Ada.

Antara kesan yang paling dirasai ialah masa dan minyak. Disebabkan penutupan ruang udara oleh Saudi, Bahrain dan UAE, semua laluan penerbangan Qatar Airways terpaksa diubah dan ini menambah masa penerbangan.

Penambahan masa penerbangan juga meningkatkan kos minyak untuk penerbangan tersebut. Sebagai contoh, penerbangan ke Sudan sebelum ini yang mengambil masa hanya tiga jam, kini bertambah menjadi sembilan jam.

Bagaimanapun pada 11 Jun lalu, Turki, Lebanon dan Algeria sudah mula menghantar bekalan makanan kepada Qatar. Walaupun sepanjang tujuh hari ini tidak ada sebarang kekurangan makanan yang ketara di pasar raya - kecuali produk susu - tindakan ini sekurangnya memberi nafas lega buat kami di sini.

Hanya pada hari pertama sahaja keadaan seakan tidak terkawal kerana kepanikan yang mencucuk penduduk di sini. Selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Emir Qatar pada hari kedua, keadaan kembali normal.

Pada masa sama, aku berasa bangga dengan pendirian Qatar yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadapat rakyat negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

Ia berbeza dengan tindakan negara terbabit menghalau rakyat Qatar keluar.

Tindakan Qatar ini menunjukkan kematangan kerajaan yang tidak dibelenggu emosi dan enggan tunduk kepada permainan mereka.

Akhir kata doakan kesejahteraan kami di sini, dan doakan semua kami dapat pulang beraya dengan jayanya. 




 

Qatar, Saudi, Air Arabia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain