suria

Tak Sangka Suami Pulang Buat Selamanya

Assyuhadak memeluk anaknya Nur Hafia ketika mengiringi jenazah suaminya Mejar Mohd Hasri pada majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Lui Muda pada Jumaat. fotoBERNAMA

JEMPOL: Asysyuhadak Ahmad tidak menyangka perancangan suaminya, Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, untuk balik beraya di kampung halamannya di Felda Lui Muda dekat sini, membawa petanda arwah akan pulang buat selamanya.

Asysyuhadak, 30 berkata mengikut perancangan, arwah bercadang untuk pulang berhari raya di sini Sabtu dan akan kembali semula ke Labuan pada hari raya kedua.

"Nampaknya memang arwah balik, tetapi untuk selamanya. Saya tak perasan sangat perkara pelik arwah cumanya sebelum ni kalau nak balik kampung, dia akan suruh saya kemas barang, tetapi kali ni sekali pun dia tak sebut suruh kemas barang," katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai pengebumian suaminya di sini Jumaat.

Dia yang kelihatan tenang sepanjang majlis pengebumian Mohd Hasri bercadang untuk bekerja semula selepas berhenti kerja sebagai jurutera setahun lepas.

"Buat sementara waktu ni, saya bercadang untuk menetap di sini (Felda Lui Muda) dan kalau bekerja pun mungkin saya akan bekerja di Kuala Lumpur," katanya yang mempunyai anak perempuan berusia enam bulan hasil perkongsian hidup selama dua tahun dengan Mohd Hasri.

Asysyuhadak turut mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang banyak membantu urusan pengebumian suaminya.

"Saya sebagai isteri kepada arwah mengucapkan terima kasih kepada keluarga TUDM atas penghormatan terakhir untuk arwah suami saya. Semoga jasa beliau terhadap negara akan dikenang," katanya.

Sementara itu, ayah Mohd Hasri, Zahari Md Din, 65, reda akan pemergian anak lelaki tunggalnya walaupun terkilan tidak dapat menyambut raya bersama tahun ini.

"Masa dia balik April lepas, dia ada cakap tak dapat balik raya tahun ni sebab tak dapat cuti. Tak lama tu, dia telefon, bukan main riang lagi, dapat cuti 10 hari dan sepatutnya esok (Sabtu) nak ambil dia di Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah). Jadi itu memang kuasa Tuhan, makna dia raya terus di sini," katanya.

Zahari menyifatkan anak ketiga dari empat beradik itu sebagai seorang yang tak banyak karenah, tidak pernah melawan dan meninggi suara.

Mohd Hasri dan rakannya juruterbang Mejar Yazmi Mohamed Yusof,39, terkorban selepas pesawat Hawk 108 yang dinaiki mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu pada Khamis.

Jasad mereka ditemukan pada pukul 2.30 petang Khamis, dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain, dengan payung terjung masing-masing.

Pesawat Hawk 108 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi Khamis, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian. - BERNAMA 

Artikel Sebelum

Bangkai Hawk 108 Ditemui

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan