KUALA LUMPUR: Pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam nahas hingga mengorban dua juruterbangnya pada Khamis, baharu dua kali diterbangkan selepas melalui penyelenggaraan penuh pada awal tahun ini. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca nahas berkenaan. "Kami akan lakukan siasatan terperinci berhubung nahas ini dengan melihatnya dari semua sudut termasuk teknikal pesawat itu sendiri,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, Jumaat. Pada Khamis, sebuah pesawat pejuang Hawk 108 TUDM terhempas dan mengorbankan dua juruterbangnya. Jasad Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun dengan kerusi lenting pesawat di kawasan hutan paya bakau Kampung Yak Yah kira-kira pukul 2.30 petang berhampiran Chukai, Kemaman kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan. Ketika diminta mengulas status penggunaan pesawat pejuang yang berusia 21 tahun itu, beliau berkata tiada keperluan untuk menghentikan operasi pesawat berkenaan. "Pesawat pejuang berkenaan masih selesa digunakan bahkan kita akan ''naik taraf '' pesawat ini... kita juga telah mendapat maklum balas dari TUDM, ternyata mereka masih berpuas hati dengan pesawat berkenaan. "Jangan kerana disebabkan satu insiden sebegini, kita hendak menjejaskan prestasi dan kredebiliti pesawat berkenaan,"katanya. Kata Hishammuddin, apa yang penting ketika ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga kedua-dua juruterbang itu agar nasib mereka terbela. - BERNAMA