suria

Jangan Marah-Marah, Fluffy OK!

-foto FB Fluffy Empire

PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki membawa Fluffy, kucing kesayangan ramai menaiki motosikal di lebuh raya telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya di Facebook dan pencinta haiwan comel itu.

Ada yang menganggap ia sesuatu yang 'comel' untuk dilihat, ada juga yang memuji 'kesopanan' Fluffy menaiki kenderaan. Tetapi ada juga yang tidak setuju Fluffy diperlakukan sebegitu. Mereka bimbang sesuatu tidak diingini berlaku ke atas Fluffy kerana 'malang tidak berbau'.

Ini menyebabkan pemiliknya, Afiq Shazwan On, 27, terpaksa menjawab komen-komen peminat yang marah dengannya di laman Facebook Fluffy.

Fluffy adalah seekor kucing baka Parsi, berusia dua tahun dua bulan, mempunyai akaun Facebook sendiri dan setakat ini mempunyai lebih 50,000 pengikut.

Setiap aktiviti atau aksi comelnya akan dimuat naik oleh Afiz Syazwan hampir setiap hari, bagi menghargai peminat setia Fluffy, termasuklah video Fluffy dibawa menaiki motosikal bersamanya yang kemudiannya tular baru-baru ini.

"Jangan bimbang, Fluffy dah biasa naik motosikal macam tu. Dia pernah ke Johor dan Kuantan, pernah beberapa kali ikut saya balik kampung di Ipoh, malah pernah ke Thailand.

"Bila naik motor, Fluffy seronok bermain dengan angin, tak suka duduk dalam bakul sebab badannya besar dan akan meronta-ronta bila dipakaikan 'harness', itu lebih membahayakan dirinya, " katanya kepada mStar Online.

Menurut Afiq Shazwan, beliau positif apabila ditegur oleh netizen, tetapi mempunyai alasan dan pendirian sendiri untuk mempertahankan apa yang dilakukannya.

"Orang tak kenal atau ikut Fluffy di Facebook memang akan marah, tapi tolonglah jangan minta perkara buruk berlaku kepada saya atau Fluffy.

"Saya faham Fluffy dan sayangkannya, sudah pasti saya juga tak mahu perkara tak baik berlaku," katanya.

Jelasnya, Fluffy sudah dilatih sejak kecil dan biasa bertenggek di bahunya ketika beliau menunggang motosikal.

Katanya, jika keluar bersantai, beliau akan membawa motosikal pada kelajuan 40 hingga 50km/jam dan 120km/jam jika berjalan jauh.

"Kalau berjalan jauh saya akan berhenti di setiap kawasan R&R (rehat dan rawat) untuk pastikan Fluffy OK.

"Untuk elakkan Fluffy bosan atau penat, ada masa saya letak 'dia' di bahu, kemudian tukar letak dalam beg khas," katanya.

Mengimbas bagaimana Fluffy begitu teruja dan selesa berada di bahunya ketika menaiki motosikal, juruteknik ini berkata, ia berlaku tanpa dirancang.

"Saya tak ada kereta. Ada sekali tu barang dalam bakul motosikal penuh saya terpaksa letak Fluffy di bahu saya, sejak itulah Fluffy suka naik motosikal," katanya.

Afiq Shazwan berkata, beliau juga mempunyai dua ekor kucing lagi iaitu Baby dan Adik, tetapi kucing-kucing berkenaan tidak gemar menaiki motosikal seperti Fluffy.

Katanya, satu-satunya masalah apabila Fluffy dibawa menaiki motosikal jika hujan tiba-tiba turun.

"Bulunya tebal, susah nak kering kalau kena hujan," katanya.

Fluffy, motosikal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Guru Serang Guru Besar

Artikel Lain