PETALING JAYA: Masyarakat bukan Islam di Malaysia harus lebih terbuka dan tidak perlu takut mempelajari tentang Islam dan al-Quran. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Publications (M) Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, tidak salah untuk masyakat bukan Islam berbuat demikian kerana ia membawa kebaikan. “Kita duduk di Malaysia yang realitinya adalah negara majoriti Islam. Jadi tidak salah untuk kita memahami Islam dan kitab sucinya al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian, Sabtu. Menurutnya, al-Quran dan Islam bukan asing bagi dirinya dan minat mendalaman dua perkara itu tercetus sejak remaja lagi. "Saya belajar Sejarah Islam dan Kesusasteraan Melayu masa di Tingkatan 6. Malah, masa di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), saya juga belajar Tamadun Islam. Menarik lagi, adik perempuan ibu saya juga peluk Islam," katanya. Chun Wai, seorang penganut Kristian berkata, al-Quran adalah satu-satunya kitab yang berbeza daripada kitab yang lain. Katanya, al-Quran satu-satunya kitab yang memulakan setiap surah dengan menyebut Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang. “Belajar tentang al-Quran bagus, apa nak takut baca al-Quran? Bukannya bila belajar kita kena masuk Melayu’,” katanya. Menurutnya, al-Quran berupaya menenangkan jiwa dan beliau masih dalam peringkat belajar kitab itu. "Sikap dan minda terbuka amat penting dalam masyarakat majmuk. Tidak salah untuk kita berusaha untuk memahami dan menghormati agama lain. “Saya masih belajar dan jika ada peluang saya berhasrat mencari seorang guru untuk membimbing baca al-Quran, kerana masih banyak yang tidak difahami,” katanya. Menyentuh kempen #QuranHour, beliau berpendapat, kempen tersebut sangat bagus kerana fokusnya adalah untuk mengajak semua masyarakat mendekatkan diri dengan al-Quran. “Bagi masyarakat bukan Islam pula, inilah peluang untuk mereka mempelajari tentang al-Quran. “Jadi tidak salah untuk orang bukan Islam jika ada yang berminat untuk turut serta dalam kempen ini,” katanya. Chun Wai juga melahirkan sokongan penuh terhadap #QuranHour, kempen berinteraksi selama satu jam bersama al-Quran. #QuranHour akan bermula dengan penganjuran Malaysia #QuranHour esok atau bersamaan 24 Ramadan yang akan berlangsung Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.