PARIT BUNTAR: Setiap kali tibanya bulan Ramadan, hidangan kerang bakar dan rebus bersama kuah kacang di daerah Kerian menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah orang luar. Antara yang sering menjadi tumpuan adalah Warung Udang Lipan di Parit Haji Wahab, di Tanjung Piandang dekat sini kerana ia bukan sahaja menyajikan pelbagai hidangan kerang, tetapi juga beraneka siput termasuk siput gerudi, siput gerumit, siput unam, siput kepah dan paling istimewa siput tiram. Pengusaha warung berkenaan, Azman Ibrahim, 54, berkata fenomena memakan kerang dan siput sememangnya menjadi trend penduduk di daerah itu sejak lebih 30 tahun lepas dan pihaknya melihat keperluan mencipta kelainan untuk menarik pengunjung. "Sebab itu kami cipta menu dipanggil ''Kerang Teppanyaki'' yang menggabungkan beraneka jenis siput dan kerang dengan sos teppanyaki istimewa menyebabkan restoran ini semakin popular," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Azman berkata kedainya dikunjungi lebih 1,000 pengunjung pada setiap hari. "Setiap hari kami memerlukan sekurang-kurangnya 300 kilogram kerang dan 150 kilogram beraneka jenis siput bagi memenuhi keperluan pelanggan yang hadir bermula pukul 7 malam hingga 2 pagi." Sementara itu, anak Azman, Amzar, 27, berkata penyediaan kuah kacang resepi turun-temurun keluarga untuk disajikan bersama kerang atau siput sebagai pencicah ternyata membangkitkan kesukaan pelanggan untuk menikmati menu itu. "Kuah kacang digunakan amat lazat, ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada tahun 2007 sebagai kuah kacang paling berkualiti," katanya. Amzar berkata harga yang ditawarkan di premis Warung Udang Lipan amat berpatutan bermula dari harga RM20 hingga RM60 sekilogram bergantung kepada menu hidangan. Seorang pengunjung, Nazif Faiz, 28, mengakui beliau menikmati juadah di premis Warung Udang Lipan sekurang-kurangnya dua kali seminggu bersama keluarga. "Kuah kacangnya cukup istimewa, di samping hidangan udang lipan yang sungguh menyelerakan serta layanan mesra daripada pemilik gerai yang sentiasa memberi perhatian kepada kehendak pelanggan," katanya. Bagi Nur Natasya Syaffira Mohd Amir, 19, pengalaman menikmati hidangan kerang rebus segar pada waktu malam amat menyeronokkan kerana harga ditawarkan juga berpatutan memandangkan saiz kerang yang besar. -Bernama