suria

'Memang Cari Jodoh, Dapat Persis Neelofa Kira Bonus'

Eddy Dzuhairy Khairuddin.

PETALING JAYA: Kisah lelaki yang tular di media sosial selepas adiknya membantu mencari jodoh buatnya tampil membuat pengakuan bahawa pada awalnya dia tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Eddy Dzuhairy Khairuddin, 31, berkata, ia hanya disedari apabila seorang rakan memberitahu ada wanita yang mahu berkenalan selepas membaca ‘posting’ tersebut di Facebook.

“Sejak ‘posting’ itu disiarkan dua hari lalu, lebih 200 orang menghubungi saya untuk berkenalan. Di Facebook saja, lebih 900 akaun 'add' saya sebagai kawan.

“Awalnya, memang saya terkejut. Ini semua kerja adik-beradik yang mahu lihat saya berkahwin. Tetapi saya terima sebab saya memang sedang mencari pasangan hidup,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

'Posting mencari jodoh' yang dimuatkan adik Eddy di Facebook.

Eddy yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan berkata, dia merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik dan kebanyakannya sudah berkahwin.

“Sebelum ini pun keluarga pernah mengaturkan hubungan saya sebanyak dua kali tapi nak buat macam mana, tak ada jodoh,” katanya.

Namun kata Eddy, dia tidak kisah mengenai usia bakal pasangannya kerana apa yang lebih penting adalah keperibadian wanita itu dan menghormati ibu bapanya.

“Bujang ke janda ke, saya terima. Tetapi kalau tanya ciri pilihan saya, sudah tentu mahu yang berdikari dan pandai memasak.

“Saya juga berharap wanita pilihan itu berhijab, kalau dapat yang ayu persis pelakon Neelofa kira bonuslah,” katanya secara berseloroh.

Mengenai dirinya sendiri, Eddy memberitahu dia seorang yang pemalu tetapi mudah mesra membuatkan hatinya terbuka untuk mengenali seseorang.

Selain itu kata Eddy, dia juga aktif bersukan dan bersenam di gim, malah sering melakukan aktiviti permotoran berkuasa tinggi.

Eddy tidak kisah pasangannya itu bujang atau janda, asalkan berdikari dan menghormati ibu bapanya.

Sejak kisahnya tular di media sosial, pemuda yang tinggal dan kerja di Sepang ini terpaksa berhati-hati menerima panggilan atau mesej dari nombor yang tidak dikenali.

Katanya, keadaan itu disebabkan nombor telefonnya sebelum ini dipaparkan pada ‘posting’ berkenaan tetapi kemudian telah dipadamkan.

“Sebelum ini, saya angkat ‘call’ saja mana-mana nombor. Tapi bila dah banyak sangat lepas kes cari jodoh, saya terpaksa tapis kecuali ada yang mesej memperkenalkan diri terlebih dahulu.

“Macam-macam yang hubungi saya, dari anak dara, janda sampai ke mak orang. Ada yang nak jodohkan saya dengan anaknya, ada juga dari cikgu nak padankan pelajarnya. Ada juga lelaki yang mesej nak berkenalan, tapi kalau lelaki saya tak layan,” katanya. 

Bagaimanapun kata Eddy, walaupun mempunyai ciri-ciri calon isteri tetapi dia sebenarnya tidak begitu cerewet dalam memilih pasangan.

“Jodoh pertemuan di tangan Allah. Kalau jodoh saya bersama janda yang ada anak sekalipun, saya terima jika ada keserasian antara kami,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain