suria

Kesesakan Luar Biasa Malam 27 Ramadan

Kesesakan yang berlaku di Tanah Suci Makkah sukar digambarkan dengan kata-kata.

ASSALAMUALAIKUM. Hari ini bersamaan 27 Ramadan. Justeru, malam tadi adalah malam 27, antara malam ganjil yang dianjurkan agar kita melipatgandakan amal ibadat untuk memburu lailatul qadar. Di Tanah Suci Makkah, malam 27 Ramadan menyaksikan kebanjiran jemaah.

Saya terkejut melihat keadaan di sekitar Masjidil Haram pada masa itu. Suatu keadaan yang belum pernah saya saksikan hatta ketika mengerjakan ibadat haji. Kesesakan di mana-mana dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Berbondong-bondong jemaah menuju ke masjid, hotel dipenuhi jutaan jemaah tanpa mengenal usia, bunyi hon kenderaan di mana-mana dan setiap penjuru serta sudut masjid terlihat jemaah sama ada duduk, baring, mengaji dan bersolat.

Keadaan di dataran Kaabah usah dicerita. Padat tidak terkata. Saya melihat lautan manusia dari paras atas masjid. Hasrat untuk bertawaf di paras atas tidak kesampaian melihatkan keadaan penuh sesak dan sukar hendak berjalan.

Untuk keluar dari masjid juga dibatalkan kerana laluan keluar juga sesak dengan manusia. Terfikir juga jika sudah keluar di hotel persekitaran bahagian depan Masjidil Haram, sudah tentu untuk kembali semula ke dalam masjid tentu menghadapi kesulitan. Justeru, ikut saja arus jutaan jemaah yang mengisi ruang dalam masjid.

Kesesakan luar biasa itu menyebabkan saya teringat pesanan mereka yang pernah menunaikan ibadat umrah ketika akhir Ramadan. Ramai mengatakan jumlah jemaah lebih ramai pada akhir Ramadan berbanding musim haji dan tidak sesuai membawa anak-anak yang masih kecil kerana dikhuatiri membantutkan ibadat.

Pada akhir Ramadan, difahamkan jumlah jemaah boleh mencecah hingga lima juta dan ini jauh berbeza ketika musim haji yang kadangkala berjumlah dua atau tiga juta. Justeru, mengerjakan umrah pada akhir Ramadan menuntut kesabaran apatah lagi dalam keadaan tubuh keletihan.

Pengalaman berada di Tanah Suci ketika awal Ramadan dan akhir Ramadan jauh berbeza. Pada awal Ramadan, jumlah jemaah yang mengisi ruang masjid tidak keterlaluan tetapi pada akhir Ramadan, khususnya pada malam 27, lambakan jemaah menyebabkan setiap pergerakan terbatas.

Sehubungan itu, saya bersedia untuk meghadapi situasi seumpama itu setelah mendengar cerita dan pesanan daripada kenalan dan ketua rombongan.

Mungkin pembaca yang berhasrat menunaikan ibadat umrah pada akhir Ramadan boleh memperoleh sedikit panduan daripada pengalaman saya menerusi catatan kali ini.

Pada jam 5 petang saya mula meninggalkan hotel penginapan berbekalkan tamar, buah-buahan kering, biskut dan roti serta jus di dalam kotak untuk berbuka puasa di dalam masjid. Setiba di perkarangan masjid, laluan utama sudah ditutup dan saya naik ke paras dua.

Penulis (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para jemaah.

Alhamdulillah, masih kelihatan Kaabah dari tempat yang saya pilih. Di sekeliling saya sudah dipenuhi jemaah terutama dari Indonesia dan Pakistan. Saya bersalaman dengan jemaah di sebelah.

“Sejak dari jam berapa kamu di sini?” tanya saya ingin tahu.

“Waktu Zuhur sudah di sini,” ujar seorang jemaah.

“Oh awal ya,” balas saya.

“Tidak ada apa yang mahu dibuat di dalam kamar hotel, jadi lebih baik iktikaf di dalam masjid saja,” ujar beliau lagi.

Saya mengangguk dan di dalam hati berkata-kata, benar apa yang diucapkan.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa kira-kira satu setengah jam lagi, saya membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.

Sebahagian besar jemaah turut melakukan perkara yang sama. Sukar melihat jemaah berbual kosong yang panjang kerana semua merebut peluang untuk memberi fokus kepada ibadat.

Setelah azan berkumandang, semua membatalkan puasa dengan air zamzam dan makan buah-buahan kering. Selepas 10 minit, kami solat berjemaah. Hanya setelah usai solat Maghrib, jemaah membuka bekalan seperti roti, sandwic, biskut, buah-buahan segar dan menikmati kopi atau teh.

Semua berkongsi makanan yang dibawa. Sebaik-baiknya, berkongsilah makanan yang anda bawa dengan jemaah di sebelah. Malu rasanya jika jemaah lain memberi makanan dan anda tidak membalasnya walau dengan sebiji kurma atau kismis.

Kenyang ke tidak makan nasi atau makanan berat?  Anda tetap kenyang walaupun makan sedikit, insha Allah.

Selesai Maghrib dan sementara menunggu Isyak, ramai juga jemaah yang keluar dari masjid. Ada yang pulang untuk makan atau ke tandas. Sebaik-baiknya, jika tidak mahu ke tandas yang terletak di luar, duduk saja di dalam masjid kerana sepeninggalan anda sudah tentu tempat duduk anda diambil oleh orang lain.

Jika mahu keluar dari masjid pastikan anda membawa semua barangan walaupun rakan jemaah lain ada di dalam masjid kerana lazimnya, jika anda hendak masuk semula ke ruang dalam masjid, pengawal bertugas tidak lagi membenarkan walaupun anda mengatakan ada teman menanti anda di dalam.

Saya tidak keluar dari masjid tetapi mencari ruang solat lain untuk bersolat Isyak. Saya menuju ke ruang solat King Abdul Aziz tetapi penuh. Begitu juga ruang solat di King Fahd. Saya terus berjalan mengikut arus jemaah bertawaf.

Dari paras dua, saya mengambil gambar dan merekodkan video sekitar dataran Kaabah. Saya sungguh terkejut melihatan lautan manusia yang bersesak. Pergerakan tawaf sangat perlahan. Keadaan hening dan tenang walaupun jutaan jemaah membanjiri Masjidil Haram.

Akhirnya kaki saya membawa saya ke ruang solat King Abdullah. Kawasan baru yang indah dan nyaman. Jika pada hari-hari biasa, ruang solat King Abdullah tidak penuh tetapi pada malam 27 Ramadan, kesesakan tetap berlaku di situ.

Ruang solat berpintu hijau dan candeliar indah banyak dipenuhi jemaah dari negara Teluk. Tidak kelihatan jemaah dari Malaysia di situ. Saya bersolat Isyak dan terawih di situ. Selesai terawih, ramai jemaah keluar tetapi saya terus di situ dan melelapkan mata.

Di kiri kanan ramai jemaah wanita yang turut baring dan berehat sementara menunggu qiamulail. Pada malam-malam ganjil, Presiden Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Sudais mengimamkan jemaah. Suara lunak dan lemak yang sentiasa saya nantikan sejak kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

Malam 27 Ramadan dipenuhi tangisan dan doa yang panjang. Biarpun tidak faham pada bacaan yang dilafazkan oleh imam, namun air mata mengalir deras memohon keampunan dan mengharapkan dapat bertemu Ramadan akan datang.

Peluang seumpama ini usah dilepaskan, mohonlah kekuatan daripada Allah agar anda berpeluang beribadat sepanjang akhir Ramadan di Tanah Suci.

Hanya setelah selesai qiamulail, saya keluar dari masjid untuk mencari makanan untuk bersahur. Sekali lagi terkejut melihat lautan manusia di perkarangan masjid yang berpusu-pusu ke hotel berhampiran untuk mencari makanan.

Sejurus tiba di hotel berhampiran, saya dapati semua kaunter makanan penuh. Saya teringin menikmati makanan segera al-Baik tetapi terhalang kerana melihatkan deretan jemaah lelaki. Saya ke kaunter makanan segera Burger King.

Dalam usaha mencari tempat makan, seorang warga Turki mempelawa saya duduk bersama-samanya. Beliau dan suami sedang menikmati al-Baik. Sejurus saya duduk di depan manakala beliau duduk di sisi suaminya, wanita itu menghulurkan jejari ayam al-Baik kepada saya.

Terasa hendak meleleh air mata saya atas pemberian itu. Wanita itu menyuakan makanan itu kepada saya bersungguh-sungguh. Saya mengucapkan terima kasih dan Alhamdulillah.

Selesai makan di situ, saya berjalan keluar dari hotel berkenaan dan usah bermimpi hendak masuk semula ke dalam masjid kerana semua laluan ke dalamnya sudah ditutup. Justeru, saya bersolat di luar masjid.

Insha Allah bersambung minggu depan.

Artikel Sebelum

Rembat Karpet Raya

Artikel Berikut

Artikel Lain