suria

Ni Baru Raya Sedondon. Kau Ada?!

Kelainan ditonjolkan dalam rekaan baju raya sedondon sempena Syawal 2017. - Facebook/Hishan Gani

PETALING JAYA: Sekeping gambar milik enam sekeluarga mencuri tumpuan netizen dengan gaya baju yang sedondon dan unik.

Gambar yang dikongsikan Hishan Gani itu mula tular dan dikongsikan oleh beberapa laman Facebook popular.

Gambar tersebut dimuat naik pada petang Ahad menunjukkan sebuah keluarga memakai persalinan baju Melayu dan kurung moden berwarna merah jambu dan bercorak hijau muda.

Rekaan kreatif itu mendapat pujian netizen kerana gaya tersebut disifatkan lain daripada yang lain.

Hishan menulis di Facebook dengan kapsyen: "Wahh 'tokey' kuda...pink kaler (warna) hawow...kakaka."

Pada gambar tersebut, Hishan telah menanda (tag) Dallilah Abu Noor, Ayue Laila dan Emam Sapekri yang merupakan individu yang bergaya dalam gambar berkenaan.

Kata Hishan, mereka merupakan saudaranya dan gambar itu dirakam ketika sanak saudara mengadakan penggambaran (outdoor photoshoot) sempena lebaran tahun ini.

"Kami semua beraya di Melaka tahun ini dan gambar tersebut diambil di Klebang kerana mahu berlatarbelakangkan sawah padi.

"Memang setiap tahun mereka akan berpakaian sedondon, cuma kali ini lebih 'letop'," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Kata Hishan, dia memanggil saudaranya itu 'tokey' kuda kerana mereka menjalankan perniagaan perkhidmatan menaiki kuda secara santai di Pantai Klebang.

Sementara itu, seorang pemilik Facebook, Ant Zameer Al Malizi berkata: "Benar kata orang cantik itu subjektif. Bergantung kepada perspektif setiap individu."

Manakala seorang lagi pengguna, Afif Faiz bertanya di manakah mereka menghantar pakaian tersebut untuk dijahit kerana rekaannya yang unik.

"Bang, hantar tailor (tukang jahit) mana tu bang? Mesti pecah kepala tailor nak buat sketch (lakaran) untuk baju tu," tulisnya di ruang komen.

baju raya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain