suria

Kenapa 'Berlari-Lari Tukar Baju'?

Gambar Shazuan Hazizi Rosli yang dimuat naik di akaun Instagramnya sebelum memulakan tugas pada hari terakhir Ramadan lalu.

PETALING JAYA: “Berlengas baru habis flight , berlari-lari tukar baju pula. Sekarang dalam perjalanan balik kampung! Raya ini paling best !” itulah luahan seorang pramugara di Twitter pada hari terakhir Ramadan baru-baru ini.

Shazuan Hazizi Rosli, 23, yang sepatutnya menyambut Aidilfitri di awan biru buat kali ketiga berturut-turut tahun ini menerima kejutan apabila di saat akhir berpeluang meraikan 1 Syawal bersama keluarga di Temerloh, Pahang.

“Banyak yang tidak dijangka berlaku. Dari tak dapat cuti raya, jadi dapat cuti. Malah di saat akhir pun masih berpeluang untuk balik kampung jumpa keluarga.

“Saya balik kampung selepas habis penerbangan pada malam sebelum raya, saya sampai di kampung sekitar pukul 3 pagi (pagi raya pertama),” katanya kepada mStar Online.

Shazuan (duduk, hadapan) bersama keluarga dan saudara-mara berhari raya di kampung di Temerloh, Pahang.

Pramugara yang bertugas dengan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines sebelum ini tular di media sosial apabila memuat naik siri perbualannya bersama penumpang dalam pesawat sepanjang bulan puasa, sebahagian daripada caranya menghiburkan hati sendiri yang tidak dapat cuti pada Aidilfitri untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Siri perbualan yang dikongsikan di Twitter itu, sebahagiannya melucukan termasuk permintaan daripada penumpang yang tidak masuk akal.

Shazuan yang bertugas sebagai pramugara sejak empat tahun lalu berkata, mengikut jadual asal, dia dalam mod tugasan standby (bersiap sedia) pada 22 Jun, bercuti pada 23 dan 24 Jun, dan ‘standby’ semula pada 25 dan 26 Jun yang kebetulan jatuh pada hari raya pertama dan kedua.

“Pada 22 Jun, saya standby di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Saya kemudian dipanggil bertugas selama tiga hari dari 22 hingga 24 Jun.

“Memandangkan dua daripada tiga hari itu jatuh pada hari saya tidak bertugas, jadi pihak pengurusan menggantikan hari cuti saya pada 25 dan 26 Jun. Alhamdulillah, saya dapat cuti raya selama dua hari,” katanya dengan nada ceria.

Antara siri tulisan Shazuan di Twitter mengenai perbualannya bersama penumpang sepanjang Ramadan sehingga tular di media sosial.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, inilah hari raya yang terbaik kerana dapat bersama keluarga selepas dua tahun berturut-turut beraya di awan biru.

Tambahnya, kenangan terindah menyambut Aidilfitri di Temerloh adalah bergambar bersama keluarganya yang besar dan mandi sungai beramai-ramai.

“Keluarga saya besar, ramai sepupu yang masih kecil. Kampung pula betul-betul menghadap sungai. 

“Semua tak sabar nak mandi sungai sampai kelam-kabut nak bergambar. Lepas dah bergambar, semua berlari ke sungai,” katanya secara berseloroh.

Pada Selasa, Shazuan yang kembali bertugas berkongsi tulisan di Twitter: “Hari ini dah kerja. Tapi tetap bersyukur sebab dapat juga cuti raya. Ada orang tak dapat cuti raya pun.

“Selepas penerbangan ini kalau saya cukup gigih, saya nak naik bas balik kampung! Nak sambung raya hahaha,” tulis Shazuan di laman sosial berkenaan. 

Artikel Lain