SELAMAT Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca mStar Online. Alhamdulillah aku berjaya juga pulang ke tanah air pada Rabu lalu. Penerbangan lancar tanpa sebarang masalah. Cuma masa penerbangan bertambah setengah jam berbanding selalu. Ia adalah kesan daripada krisis diplomatik di Qatar yang memberi kesan kepada laluan pesawat udara. Itu juga bukan dikira masalah besar jika dibanding dengan penerbangan ke arah Afrika, seperti Sudan. Jika dulu tempoh penerbangan Doha ke Sudan adalah tiga jam, sekarang menjadi lapan jam. Sesebuah kapal terbang tidak boleh terus ke negara berkenaan, sebaliknya terpaksa menuju ke Iran terlebih dahulu sebelum kemudian barulah membelok menuju ke destinasi sebenar. Aku bernasib baik kerana mula bercuti pada hari 22 Jun. Bagi kawan-kawan yang mula bercuti pada hari Khamis, penerbangan sudah mula penuh. Ini kerana di Qatar, cuti hujung minggu adalah Jumaat dan Sabtu. Jadi pada Khamis malam warganegara Malaysia yang bekerja waktu pejabat akan pulang pada malam itu. Ditambah lagi, dengan mereka yang dulu tiket masing-masing dibatalkan, mula membeli tiket Qatar Airways. Tiga hari berturut-turut semua penerbangan ke Malaysia telah penuh. Justeru jalan lain ke KLIA ialah menggunakan laluan alternatif. Ramai terpaksa transit ke negara lain seperti Singpura, Phuket dan Ho Chi Minh. Dari situ barulah diambil penerbangan ke Malaysia. Tetapi umumnya lebih ramai yang memilih Singapura kerana dari situ banyak alternatif lain untuk sampai ke Malaysia seperti bas dan kereta api. Tiga bulan lepas beberapa pekerja baru menyertai Qatar Airways. Dan mereka bernasib baik kerana dapat juga pulang ke Malaysia untuk berhari raya. Waktu aku dahulu, langsung tidak dapat pulang berhari raya. Kami lima orang, buat pertama kali pada tahun pertama di Doha, iaitu 2014, berhari raya di tanah orang. Aku masih ingat, malam raya aku terpaksa bekerja. Dan kebetulan Harith juga bekerja malam. Puasa terakhir itu aku berbuka dengan warga Lubnan dan Jordan. Sambil bekerja, aku terbayang keluarga di Malaysia sedang sibuk memasak rendang, merebus ketupat dan membeli lemang. Perasaan sayu perlahan merayap apabila terngiang-ngiang takbir raya. Lagu-lagi raya jangan ceritalah, bertalu-talu bergema dalam kepala aku. Paling kerap berputar adalah lagu Sudirman - Dari Jauh Kupohon Maaf. Semangat untuk kerja memang hilang langsung. Sedikit pun tidak ada bekasnya. Waktu aku rasa bergerak amat perlahan. Aku merasakan dunia sengaja menyeksa aku. Tamat waktu bekerja, aku bergegas pulang. Dalam keadaan mengantuk aku tiba di rumah awal pagi dan terus bersiap untuk ke masjid. Harith juga pulang dan terus bersiap. Anifi sudah menunggu di rumah dengan lengkap berpakaian baju Melayu. Keluarlah kami bertiga menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Ribuan manusia membanjiri masjid sehingga memenuhi jalan utama. Selesai solat, kami pulang ke rumah. Tiada apa lagi yang hendak di buat. Masing-masing buntu. Walaupun lapar, tetapi selera tertutup sepenuhnya. Anifi memasang lagu raya dan kemudian ke dapur merebus ketupat. Aku sempat menghubungi isteri mengucap selamat dan sempat berbual dengan anak-anak. Harith juga begitu. Tetapi kami tidak dapat berlama-lama kerana khuatir gagal mengawal emosi. Selepas itu kami bertiga hanya melepak di ruang tamu menghabiskan masa yang ada. Mengelamun. "Oi!" Jerit Anifi, tidak tahan dengan kesunyian yang pekat. "Boraklah! Janganlah senyap! Kalau tak aku menangis macam ni." Aku dan Harith hanya tersengih. Sejam selepas tu, kami menerima mesej untuk ke tingkat lima. Rupanya ada lagi yang tidak dapat pulang beraya. Berangkatlah kami ke tingkat lima. Alhamdulillah, dapat juga merasa rendang ayam dan ketupat. Berayalah kami di situ sehingga petang. Terubat juga kesunyian. Hari raya tanpa keluarga tersayang memang memeritkan. Oleh itu, hargailah mereka ketika ada. Berhati-hati memandu. Dan Selamat Hari Raya Aidilfitri dari saya. Maaf zahir dan batin.