suria

Untung Selipar Terpakai

KOTA BHARU: Jualan selipar terpakai secara dalam talian sepanjang Ramadan mendapat sambutan memuaskan sehingga menyebabkan Mohd Fadhlan Naim, 34, tidak menang tangan untuk melayan tempahan pelanggannya.

Mula berjinak-jinak dalam perniagaan dalam talian lebih empat tahun lalu, Mohd Fadhlan berkata medium laman sosial nyata memberi dimensi baharu dalam bidang perniagaan itu apabila tidak lagi perlu bersusah-payah membuka gerai di pasar malam.

"Sepanjang Ramadan ini,saya terima banyak permintaan daripada pelanggan sebagai persiapan hari raya mereka. Ramai yang memilih kasut 'bundle' ini keranaia berkualiti walaupun harganya murah,sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan mereka," katanya kepada Bernama.

Mohd Fadhlan, dari Kampung Jaya Setia, Badang di sini,berkata beliau mula menjual barang terpakai hampir 10 tahun lepas di pasar malam namun dengan ledakan teknologi masa kini beliau memutuskan untuk menjual barangan secara dalam talian pula.

"Sebenarnya saya saja suka-suka jual barang di Facebook dan Instagram, tapi tiba-tiba ia mendapat permintaan tinggi pula daripada pelanggan yang suka membuat pembelian dalam talian.

"Setakat ini, saya mempunyai hampir 9,000 pengikut di Instagram dengan kebanyakannya pelanggan tetap yang sentiasa membeli barangan terpakai terutama yang berjenama antarabangsa," katanya.

Beliau berkata barangan terpakai itu dikelaskan mengikut gred tertentu berdasarkan keadaan barangan itu yang dibelinya secara borong termasuk dari negara jiran.

"Pernah satu ketika saya dapat jual 100 pasang selipar gred A dalam tempoh dua minggu lebih sahaja kerana permintaan yang tinggi terhadap sesuatu jenis selipar itu.

"Apa yang penting kita kena tahu selera semasa penggemar barangan terpakai ini, dan saya sendiri hanya mengkhususkan menjual selipar semata-mata dan tidak mencampurkannya dengan barangan lain seperti baju atau seluar," katanya.

Katanya, beliau turut mengamalkan konsep simpati terhadap pelanggannya walaupun barangan yang dijual adalah terpakai.

"Kadang-kadang pelanggan beli barang dengan kita sampai beratus-ratus ringgit, tapi bila barang yang dipos sampai kepada mereka, barang tersebut rosak.

"Bila perkara ini berlaku saya selalunya akan memulangkan kembali wang pelanggan tersebut, dalam masa yang sama, secara tidak langsung pelanggan akan memberitahu rakan-rakan mereka mengenai servis yang saya berikan sekali gus menjana pelanggan baharu," katanya.


Fadhlan Naim, selipar

Artikel Sebelum

Cekau Duit Derma Masjid

Artikel Berikut

Artikel Lain