BESUT: Lima beradik dari Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut yang kematian ibu mereka baru-baru ini tidak pernah diabaikan malah sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak berkaitan, kata wakil rakyat kawasan itu. Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata dakwaan yang dibuat melalui media sosial termasuk laporan media elektronik baru-baru ini adalah tidak tepat kerana ia dibuat dengan tidak dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab. Katanya, berpandukan kepada rekod sebelum ini, menunjukkan keluarga Akma Ismail, 41 telah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak tahun 2013. Akma meninggal dunia pada 30 Jun lalu akibat kanser payudara telah meninggalkan lima orang anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berumur antara 3 hingga 14 tahun. Tengku Zaihan berkata kelima-lima anak allahyarham Akma, Mohd Azriq Irfan Mohd Zahari, 14, Mohd Azril Irman, 13, Azreen Ileya Balqis, 11, Mohd Aziq Isyraaf, 6 dan Azlily Ilisya Qistina, 3 tidak pernah diabaikan malah setiasa mendapat bantuan daripada kaum keluarganya yang tinggal berdekatan dengan rumah peninggalan arwah ibunya yang menjadi tempat tinggal kelima-lima beradik itu sekarang. Menurut beliau, pihaknya telah menziarah dan memberi bantuan kepada Akma sejak arwah yang juga seorang tukang jahit disahkan menghidap barah payudara dan pernah mengadakan majlis berbuka puasa dengan mereka pada bulan Ramadan yang lalu. “Dakwaan yang mengatakan anak-anak allahyarham kini tinggal sebatang kara juga tidak benar kerana mereka mempunyai keluarga yang ramai dan rumah mereka juga berdekatan dengan rumah datuknya yang kini mengambil tanggungjawab untuk menjaga mereka sejak kematian Akma “, kata Tengku Zaihan kepada media ketika melawat keluarga berkenaan di rumahnya di sini pada Isnin. Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut, Suzieyaty Siyude dan Ketua Penyelia Agensi Transformasi Rakyat Terengganu DUN Kuala Besut , Norazila Mohamad. Dalam pertemuan itu, JKM juga memutuskan untuk memindahkan wang bantuan bulanan RM400 kepada ayah Akma, Ismail Embong yang juga datuk kepada kelima-lima anak-anak yatim itu. Tengku Zaihan turut mengumumkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan bantuan bulanan RM500 kepada anak-anak allahyarham Akma bagi menanggung perbelanjaan mereka. Sementara itu, Ismail, 70, juga turut melahirkan rasa kesal atas dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan cucu-cucu mereka diabai dan tinggal sebatang kara sejak kematian ibu mereka sedangkan kesemuanya dijaga dan diurus oleh beliau yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Menurutnya, walaupun apa berlaku beliau tetap akan menjaga cucu-cucunya hingga mereka membesar dan dapat menguruskan diri masing-masing.-Bernama