suria

Radar 'Hilang': Enam Diambil Keterangan

PETALING JAYA: Enam individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata enam individu terbabit adalah kakitangan Jabatan Polis Bantuan dan pegawai kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 37 dan 48 tahun itu hadir di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 11 pagi Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM berkata mereka juga dalam proses meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperolehi daripada pihak pelabuhan berhubung kejadian tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Malah, katanya SPRM kini dalam proses mengenalpasti sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam insiden tersebut.

"Kita (SPRM) akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini," tegas beliau.

Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil jika perlu bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

SPRM, radar tentera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain