suria

Bekas Amah Aliff Syukri Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu rumah pengasas produk D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, di sini, atas tuduhan mencuri tiga utas gelang tangan berjumlah lebih RM1,500 milik isteri jutawan terkenal itu, bulan lepas.

Sundari, 40, warga Indonesia mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Berdasarkan pertuduhan, Sundari didakwa mencuri tiga utas gelang emas berjumlah RM1,509.14 milik Datin Nur Shahida Mohd Rashid di sebuah rumah di Kampung Damai, Kuang, di sini pada 4 pagi, 18 Jun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul 'Ain Shafie tidak menawarkan sebarang jaminan  kerana tertuduh adalah warga asing.  Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 20 Jun lepas, media melaporkan jutawan kosmetik itu mengamuk apabila dia mendapat tahu beberapa pembantu rumahnya membuat pakatan mencuri wang dan barang berharga miliknya bernilai RM100,000.

Susulan kejadian itu, satu resit kiriman wang bernilai RM7,500 ke Indonesia ditemui yang dipercayai dilakukan pembantu rumah tersebut.

Kes itu menjadi viral selepas Aliff Syukri memuat naik lima video menunjukkan tindakannya menyoal siasat pembantu rumah selain rakaman beliau mengheret wanita itu ke Balai Polis Sungai Buloh.-- Bernama

Aliff Syukri, Sundari

Artikel Lain