suria

Kabinet: Tiada Kelonggaran Bahasa Melayu

PUTRAJAYA: Kabinet pada Rabu memutuskan tiada sebarang kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kabinet turut memutuskan untuk mengekalkan syarat-syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini.

Dengan keputusan itu, katanya, Jemaah Menteri menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41 yang diumumkan sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Rabu, Ahmad Zahid berkata keputusan itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jemaah Menteri turut memutuskan untuk meminda Akta Perubatan 1971 untuk mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat latihan dan memasukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu," katanya.

Ditanya bila pindaan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata pindaan itu akan dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan dan pejabat Peguam Negara terlebih dahulu.

"Sekarang mereka (pegawai perubatan yang menjalani latihan) boleh mengambil peperiksaan Bahasa Melayu SPM sebagai subjek tunggal pada bulan Jun atau November," katanya.

Lembaga Peperiksaan juga telah memutuskan bahawa tenaga profesional boleh mengambil satu subjek dalam SPM dan ia boleh dilaksanakan mulai November ini, jelas beliau.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, hanya terdapat 23 orang doktor yang terlibat dalam latihan yang diberi kelonggaran sebelum ini.

Sebelas daripada mereka merupakan  anak diplomat Malaysia yang mendapat pendidikan perubatan di luar negara dan berketurunan Melayu.

"Jadi saya tidak  mahu ada orang gambarkan seolah-olah jumlahnya adalah 300 atau 3,000 orang," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui langkah proaktif yang diambil hari ini.

Pada sidang media, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada organisasi ilmuan dan pejuang Bahasa Melayu.

"Saya fikir percerahan ini adalah satu keputusan muktamad," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Tiada Kes Rabies Baharu

Artikel Berikut

Artikel Lain