SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewanya terhadap insiden poster gadis iklan Shell yang menjadi tular baru-baru ini. Menurutnya, tindakan individu yang terlibat adalah sangat mengecewakan, memalukan dan bertentangan dengan budaya peradaban masyarakat kita. “Ia merupakan satu penghinaan dan kurangnya rasa hormat segelintir pihak terhadap wanita, berhentilah melakukan wanita sebagai objek, kita bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa buat kaum tersebut. “Walaupun ada yang berniat untuk berjenaka, saya mahukan kita semua lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat, jika ia terjadi kepada ahli keluarga sendiri, apa perasaan kita?” kata Najib di dalam blog miliknya. Terdahulu, iklan gadis Shell ditarik semula berkuat kuasa serta-merta awal Julai ini susulan tindakan beberapa individu tidak bertanggunjawab melakukan aksi tidak senonoh dan ‘mencabul’ poster tersebut tular di media sosial. Tambah Najib lagi, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia kembali berpegang kepada prinsip rukun negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. “Budaya hormat-menghormati merupakan elemen penting untuk kita hidup bersama secara aman dan damai. “Islam juga mengajar kita untuk menghormati wanita malah meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi,” katanya lagi.- Sinar Harian