KUALA LUMPUR: Bekas ahli kumpulan dangdut Dewi yang popular sekitar 90-an, yang dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana memiliki dadah Mei lepas, Isnin dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini kerana memasukkan dadah ke dalam badannya. Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Irene atau nama sebenarnya, Noor Azreen Mohd Johari, 37, selepas dia mengaku bersalah menggunakan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina dengan cara memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya, di sini, pada 3.59 pagi, 12 Mei lepas. Mahkamah memerintahkan ibu enam anak itu dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 12 Mei lepas dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun. Dia kini menjalani hukuman penjara 10 bulan itu di Penjara Kajang. Noor Azreen didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 serta pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun. Terdahulu, Nor Azreen yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai enam orang anak, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. -- Bernama