suria

Lapan Polis Direman Kes Banduan Lari

Anggota polis terlibat didapati membuat laporan polis palsu.

GEORGE TOWN: Lapan anggota polis dan seorang nelayan direman pada Isnin bagi membantu siasatan kes seorang tahanan kes 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri ketika van yang membawa mereka dikatakan rosak di Jalan Paya Terubong di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata kesemua anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun yang ditahan itu bertugas di lokap pusat Bayan Baru, manakala nelayan berusia 56 tahun itu dipercayai rakan tahanan yang akan membantu membawanya keluar dari negara ini melalui jalan laut.

Beliau berkata menurut laporan polis oleh anggota terlibat, banduan berkenaan Anuar Ayat, 43, melarikan diri ketika dia dan dua lagi tahanan lain berada dalam van polis bersama lima anggota polis yang mengiringi mereka yang sakit dan perlu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan.

“Anggota polis terlibat didapati membuat laporan polis palsu. Siasatan awal kami mendapati ketiga-tiga banduan itu dibawa untuk bertemu keluarga masing-masing dan mereka juga tidak digari. Van yang membawa mereka juga tidak rosak sebagaimana dilapor,” katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata siasatan mendapati anggota polis terbabit membawa keluar tiga tahanan itu daripada  lokap berkenaan pada 2 pagi dengan Anuar dibawa ke sebuah kondominium di Sungai Ara manakala dua lagi tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012, masing-masing berusia 38 dan 45 tahun dibawa ke sebuah inap desa di kawasan yang sama.

Semasa dalam perjalanan pulang ke lokap, Anuar meminta untuk berjumpa rakannya di Sungai Nibong Besar, dan mereka membawanya ke sana kira-kira 4 pagi dan dia yang ditahan pada 2015 kerana mengedar sejumlah besar dadah itu melarikan diri ketika bertemu rakannya itu.

Anuar yang ditahan di Penjara Alor Star, Kedah dibawa ke lokap pusat Bayan Baru pada 6 Julai untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah George Town.

Chuah berkata lapan anggota polis terbabit juga dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada tiga tahanan yang mahu berjumpa keluarga, dan pihaknya masih menyiasat jumlah bayaran yang dikenakan itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan itu bukan kes pertama anggota (polis) yang bertugas di lokap itu bertindak sedemikian (mengenakan bayaran untuk membawa keluar tahanan berjumpa keluarga).

Saya telah arahkan siasatan terperinci dijalankan termasuk mengkaji semula SOP dan kelemahan di situ.

"Siasatan di lokap itu juga akan dibuat bukan sekadar membabitkan kes berkenaan sahaja malah melibatkan keseluruhan pegawai dan anggota yang bertugas di situ bagi melihat sama ada terdapat aktiviti lain berlaku di sana.

Terdapat lebih 200 pegawai dan anggota bertugas di lokap yang mampu menempatkan 100 tahanan dalam satu-satu masa itu," katanya.

Beliau berkata usaha mengesan Anuar masih diteruskan dan semua pihak berkuasa di pintu masuk negara telah dimaklumkan mengenai banduan itu.

Polis juga mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan lelaki itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritenden Norhisham Ramli di talian 019-4715484 atau balai polis berhampiran. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

YDP DPMM Perak Ditahan

Artikel Lain