suria

Baru Darjah 3, Masak Macam 'Otai'

PETALING JAYA: Si cilik ini baru berusia sembilan tahun tapi gayanya memasak di dapur tak ubah macam seorang tukang masak berpengalaman.

Pelajar darjah tiga Sekolah Kebangsaan Yong Peng ini, Siti Nurfatihah Mohd Faizi langsung tidak kekok untuk mengendalikan senduk dan periuk-belanga di dapur, termasuklah 'bermain' api, semuanya kerana dia dibesarkan di kedai makan ibunya yang terletak di Yong Peng, Johor.

Lenggoknya ketika memasak telah menarik perhatian ramai apabila video yang menunjukkan kemahiran si kecil ini memasak dimuat naik oleh bapa saudaranya dan tular di media sosial.

Ibunya, Siti Norasiken Yusof, 30, berkata anak bongsunya itu yang lebih mesra disapa sebagai Tihah sudah dibawa 'berkenalan' dengan kedai makannya sejak dia masih bayi.

"Sebab tu saya tak terkejut sangat dia minat masak, tapi saya akui dengan umurnya yang masih muda, kemahirannya itu agak luar biasa berbanding kanak-kanak lain.

"Bayangkanlah umur lima tahun dia dah minat pegang senduk nak menggoreng tapi saya tak benarkan sebab masa tu dia tak cukup tinggi," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Siti Norasiken berkata, beliau mula sedar bakat Tihah ketika anaknya itu berusia tujuh tahun, apabila Tihah tidak kekok memegang pisau besar untuk memotong ayam untuk dimakan bersama nasi ayam yang dijualnya.

"Masuk darjah dua, dia dah pandai masak nasi goreng, mi goreng dan goreng telur mata. Kalau lepas waktu sekolah bunyi ketuk kuali tu lain macam sikit, memang dialah tu di dapur.

"Setakat untuk makan sendiri 'lepaslah', untuk pelanggan belum lagi. Tapi Tihah selalu murah hati bagi peniaga-peniaga lain rasa masakannya," katanya sambil menambah ada peniaga yang memanggil Tihah dengan nama Joyah gara-gara keramahan dan kepetahannya bercakap.

Siti Norasiken yang sudah 16 tahun berniaga makanan di situ berkata beliau tidak pernah mengajar Tihah memasak secara formal atau memaksanya membuat kerja-kerja dapur.

Bagaimanapun, beliau percaya anaknya itu banyak belajar melalui pemerhatian, selain bakat semulajadi yang dikurniakan kepadanya.

Ditanya tentang faktor keselamatan anaknya, ibu kepada dua anak ini berkata beliau sering berpesan kepada anak-anaknya supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

"Kadang-kadang jerit (marah) juga kalau bahaya, tapi dia kata 'tak apa 'kita' pandai," cerita Siti Nurasiken.

Sementara itu Tihah, ketika ditanya tentang cita-citanya berkata mahu menjadi seorang tukang masak terkenal dan mempunyai restoran sendiri.

Tihah, tukang masak cilik, Yong Peng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain