suria

Patut Lama Dalam Kereta...

PETALING JAYA: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan mengambil masa kira-kira 10 minit di dalam kereta sebaik sahaja tiba di rumah semata-mata mahu merakamkan video menggunakan telefon bimbit milik ibunya, mengundang 1,001 persoalan.

Tanda tanya terjawab apabila si cilik ini sebenarnya merakamkan aksinya membuat tutorial bagaimana memakai tudung jenis sarung.

Menariknya, video berkenaan bukan sahaja dirakamkan sendiri oleh kanak-kanak berkenaan tetapi telatahnya membuat tutorial yang spontan dan mencuit hati.

“Korang tahu tak macam mana saya pakai tudung ni?,” katanya yang berberbaju merah dan tudung merah jambu, sambil mengelipkan mata beberapa kali.

“Satu, dua, tiga.. masuk! Lepas itu kalau tak muat, pakai pin. Ingat tu, pin!,” katanya lagi selepas menyarungkan tudung berkenaan.


Video kanak-kanak itu dimuat naik oleh ibunya, Zalihar Mohd Arshad, 36, di laman sosial baru-baru ini sehingga mendapat perhatian netizen.

Menerusi keterangan video yang dimuat naik, Zalihar berkata: “Patut lama dalam kereta. Buat tudung tutorial rupanya.”

Zalihar ketika dihubungi mStar Online berkata, rakaman dibuat anaknya sendiri yang berusia enam tahun, Nawwal Nawrah Norkhairil pada minggu lalu.

Katanya mengenai Nawrah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, ketika itu mereka baru pulang ke rumah selepas mengambil anaknya dari sekolah, menggunakan telefon bimbit miliknya yang diletakkan di papan pemuka (dashboard) kereta.

“Nawrah tak lama pun dalam kereta, tak sampai 10 minit pun. Dari jauh, saya nampak dia ada pegang telefon itu, tapi saya tahu dia memang suka rakam dia bercakap.

“Tapi tak sangka dia rakam buat tudung tutorial. Ia rakaman tutorial tudungnya yang pertama! Mungkin sebab dia terikut-ikut saya yang pernah rakam video buat tudung tutorial,” kata Zalihar yang merupakan pengusaha tudung sejak tiga tahun lalu.

Nawrah (kiri) bersama ibunya, Zalihar. 

Menurut Zalihar, walaupun kebanyakan tudung yang dijualnya adalah jenis sarung, tetapi kesemua video tutorial tudung adalah jenis seledang (shawl).

“Tudung sarung memang senang nak pakai, sarung saja. Tak perlu tutorial. Sebab itu video yang dibuat Nawrah menjadi perhatian.

“Disebabkan video itu, ramai pula yang bertanyakan tentang tudung untuk kanak-kanak, malah meminta Nawrah untuk tampil lagi buat video tutorial tudung,” katanya.

Seorang netizen menerusi akaun ‘Aida Salihan’ di ruangan komen berkata: “Aku terhibur saja. Tudung sarung pun sekarang kena tutorial.”

‘Adar Hanifah’ pula menyokong tindakan Nawrah yang merujuk kepada segelintir wanita yang mengambil masa lama untuk memakai tudung, sambil berkata: “Bagus dik, bagi semua kakak-kakak tengok video tutorial pakai tudung seminit ni. Semoga adik jadi wanita pertama yang bersiap tak sampai lima minit satu masa nanti.”

Di akhir video berdurasi 53 saat itu, Nawrah sempat berkata sesuatu kepada ‘penontonnya’: “Kalau nak pakai make-up (alat solek), nanti saya tunjuk ye. Saya dah sampai rumah dah ni, saya buat macam main-main je kat kereta.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain