KLANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menafikan dakwaan mengenai DAP diketepikan daripada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan. "(Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dilantik menjadi salah seorang timbalan presiden. Okaylah tu," katanya selepas merasmikan Program Jimat Air di Pangsapuri Pelangi Court, Jalan Pekan Baru di sini, Ahad. Pakatan Harapan menamakan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum Pakatan Harapan; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menjadi presiden. Selain Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden bagi pakatan itu. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali; Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jien dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dinamakan sebagai naib presiden pakatan. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan mengapa DAP tidak diberikan sebarang jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan walaupun parti itu mempunyai jumlah ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan tersebut. Azmin berkata, barisan kepimpinan Pakatan Harapan terdiri daripada pemimpin lama dan baharu demi kebaikan rakyat dan negara. "Setiap parti dalam pakatan ini mempunyai peranannya. Kami saling melengkapi dan bukannya melawan antara satu sama lain. "Adalah lebih penting bekerjasama sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.