suria

Tiada Rancangan Sekat Telegram - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk mengikut jejak langkah Indonesia menyekat platform media sosial Telegram, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.  

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun memberitahu, beliau menghormati keputusan negara jiran itu untuk menyekat aplikasi berkenaan.

Tambah Ahmad Zahid, Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai sebab untuk menyekat aplikasi tersebut pada masa ini.

Pada Jumaat lalu, Indonesia menyekat Telegram, dengan mendakwa ia digunakan pengganas untuk mengrekrut anggota baharu dan sumber bagi mendapatkan dana.

"Kementerian Dalam Negeri, terutama unit pencegahan keganasan belum lagi menemui elemen berkaitan rekrut dan sumber dana untuk keganasan, menerusi aplikasi tersebut," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Namun, kita akan terus memantau komunikasi pada platform tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Jakel di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk campur tangan dalam komunikasi peribadi dalam kalangan pengguna Telegram di Malaysia.

"Kita menghormati hak individu menggunakan media sosial, tetapi kita juga perlu menggunakan kaedah pengkodan bagi mengenal pasti sama ada terdapat elemen keganasan seperti IS, sama ada secara online, di media sosial atau offline," katanya sambil menambah pihak berkuasa turut memantau aplikasi media sosial lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain