suria

Tun M Minta 10 Sen!

PETALING JAYA: Siapa sangka Tun Dr Mahathir kini mengamalkan 'dasar baharu' apabila mengenakan bayaran untuk mereka yang mahu bergambar dengannya.

Tetapi jangan salah sangka kerana ia hanyalah gurauan bekas perdana menteri Malaysia ini dengan seorang peguam wanita yang ingin bergambar dengannya.

Bayaran yang diminta tidak banyak, hanya 10 sen.

Posting gambar dan keterangan ringkas yang dimuat naik oleh peguam berkenaan, yang menggunakan nama yaniekhuszairy di media sosial itu telah menarik perhatian ramai dan menjadi tular.

"Tadi masa nak ambil gambar Tun minta sepuluh sen," tulisnya dalam keterangan gambarnya sedang duduk di sebelah Dr Mahathir yang dimuat naik di laman Instagram, Sabtu.

Beliau turut menyifatkan gurauan Dr Mahathir itu sebagai sesuatu yang 'comel' berdasarkan hashtag 'comelteruk' yang ditulisnya.

Minggu lalu, Dr Mahathir telah mencuit hati netizen apabila beliau tidak tahu maksud singkatan 'HB' (happy birthday) yang ditulis kepadanya.

Pengguna, Azmi Ramli mengucapkan 'HB Tun' kepada bekas pemimpin itu sempena sambutan ulang tahun yang ke-92 pada Selasa.

Dr Mahathir yang dipercayai tidak memahami singkatan internet itu bertanya kembali kepada Azmi Ramli: "HB tu apa?"

Sebelum itu beliau turut bergurau dengan menulis 'Sambutan Hari Jadi ke-92? Saya rasa mereka salah orang. Saya baru 29 tahun' di Twitter bersama gambarnya dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dengan hidangan pulut kuning sempena hari jadinya.



Tun M, Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain