ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki mangsa lemas yang berjaya diselamatkan meninggal dunia selepas koma sejak empat hari lalu. Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail mengesahkan Muhammad Rusyaidi Mohamad Naam, 5, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.24 pagi Ahad. Pada Khamis, kanak-kanak lelaki itu bermain berhampiran kolam ikan terbiar dekat Kampung Sena di Kuala Nerang bersama rakannya, Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5. Kedua-duanya kemudian ditemui terapung di dalam kolam itu oleh penduduk kampung dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah. Nur Damia Nadhirah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu manakala Muhammad Rusyaidi dikejarkan ke unit rawatan rapi wad pediatrik. Ibu mangsa, Kharuni Nan, 32, pekerja sebuah restoran dari Kampung Semeliang mengingat kembali kelakuan pelik anaknya itu seminggu sebelum kejadian apabila makan makanan bukan kegemarannya dan menjadi lebih aktif. "Dia juga cuba mendapatkan perhatian saya dengan menyanyi sekuat-kuat hatinya. "Sekarang dia meninggalkan kami, lagunya tidak akan kedengaran lagi," kata Kharuni.