suria

MH17: Najib Ulangi Desakan Bagi Keadilan Mangsa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi desakan Malaysia untuk keadilan bagi mangsa tragedi penembakan jatuh pesawat Malaysia Airline (MAS) penerbangan MH17, di timur Ukraine tiga tahun lepas.

"Ia tetap menjadi keutaman kami untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mereka yang terkorban. Kami akan meneruskan usaha dan mendakwa pelaku perbuatan kejam yang melampau ini. Ini adalah satu tragedi  yang Malaysia tidak akan lupakan,” kata Najib melalui posting dalam laman Twitter dan Facebook, Isnin.

Najib juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa atas tragedi itu.

"Pada hari ini, tiga tahun lalu, 298 orang yang tidak berdosa terkorban apabila pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh. Kita kehilangan 43 rakan kita sebagai rakyat Malaysia pada hari itu. Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, ingatan kepada mereka tidak akan luput.

"Malaysia berdiri teguh bersama anda,” kata beliau.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014, mengorbankan semua 298 orang yang menaiki penerbangan itu.

Mangsa tragedi ialah dari Belanda, Malaysia, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, kanada dan New Zealand.-- Bernama

MH17, MAS, Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Kantoi' Cungkil Mesin Air

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan