suria

Ustazah Berlesung Pipit Dihujani Mesej 'Calon Suami'

PETALING JAYA: Seorang ustazah berlesung pipit yang mengajar kelas al-Quran dan fardu ain 'dihujani' mesej perkenalan selepas posting dirinya sedang mencari jodoh tular.

Posting tersebut dibuat oleh adiknya yang hanya mahu dikenali sebagai Liana, sekitar Jun lalu dan tular di media sosial baru-baru ini.

Liana ketika dihubungi mStar Online berkata, ratusan mesej masuk ke telefon bimbitnya selepas beliau mengirimkan posting tersebut ke 'inbox' beberapa laman Facebook yang mempunyai ramai pengikut untuk disebarkan.

"Ramai yang PM (private message). Pening saya dibuatnya.

"Sampai tangan ni tak sempat nak balas.  Tapi saya tetap balas juga mesej cuma lambatlah sikit," katanya.

Antara mesej yang dihantar untuk berkenalan seterusnya menjadi suami kepada Aliya.

Liana yang berusia 22 tahun berkata disebabkan terlalu banyak mesej yang masuk, beliau terpaksa menulis butiran dan maklumat si penghantar mesej dalam sebuah buku khas.

Dalam tulisannya, Liana menggambarkan kakaknya, Aliya, 25, sebagai seorang wanita yang pemalu, tetapi mudah mesra dengan saudara-mara yang lebih tua.

Menurut Liana, beliau terpanggil untuk membantu kakaknya mencari jodoh kerana saudaranya itu tidak pernah menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

"Sebenarnya cari jodoh ni susah, ia satu usaha yang berat sebenarnya. Tapi kami tetap doa, usaha, tawakal dan serahkan segala kepada-Nya," katanya.

Liana turut menggambarkan kakaknya sebagai seorang yang berkulit putih, manis dan cantik.

"Yang penting ada lesung pipit. Hehe. Dan yang paling penting boleh memasak. Tapi tak sehandal chef-chef," tulisnya.

Liana mengakui timbul kerisauan jika terdapat 'calon' yang tidak serius atau berniat jahat terhadap kakaknya atau ahli keluarganya.

Katanya, dalam perkara ini, selain berserah kepada Allah, mereka sekeluarga juga mempunyai perancangan sendiri dalam usaha mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku apabila bertindak menjadikan Facebook sebagai platform untuk mencari calon suami.

"Tipulah kalau cakap tak risau. Niat baik atau tak baik seseorang kita takkan pernah tahu jadi kena pandailah fikir apa yang terbaik...perlukan husnuzon dan teruskan dengan rancangan," katanya.

Liana berkata, beliau hanya membantu dari segi membalas mesej dan merekodkan maklumat calon, tetapi keputusan memilih diserahkan kepada kakaknya.

Katanya, pada peringkat ini terdapat beberapa calon yang Aliya rasakan sesuai selepas melihat maklumat latar belakang mereka.

"InsyaAllah kami akan aturkan sesi perkenalan dalam bulan ini juga," katanya.


cari jodoh, ustazah, lesung pipit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain