PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan membawa berita gembira buat warga Felda semasa perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2017 di sini, Ahad ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. Beliau berkata pengumuman tersebut antara lain akan menyentuh mengenai langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan golongan peneroka Felda. "Saya percaya perdana menteri akan mengumumkan beberapa kaedah untuk menangani masalah beban yang dihadapi peneroka ,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama News Channel (BNC) sempena sambutan 'Ekspresi Negaraku Felda Malaysia' di Putrajaya, bermula Jumaat hingga Ahad ini. Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berhenti membantu warga Felda sebagai menghargai sumbangan mereka dalam memajukan industri komoditi utama negara. "Perkara ini ini dibuat sepanjang masa demi kebaikan peneroka. Dia (Najib) kata ini hak peneroka, ini bukan benda baru, ayat-ayat ini sebenarnya digunakan (oleh pembangkang) bagi sakit hati, mengkritik apa sahaja usaha yang dibuat oleh kerajaan," katanya Razali berharap pembangkang dapat mengubah persepsi negatif terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu golongan peneroka. Secara keseluruhan, beliau berkata Felda telah membayar sejumlah RM3.8 bilion yang melibatkan pelbagai bayaran seperti pemberian insentif dan bonus tahunan kepada peneroka sejak 2003. Mengenai sambutan tersebut, katanya, ia adalah terbesar kerana menggabungkan pelbagai agensi dan kementerian dan lebih 50,000 pengunjung serta warga Felda dari seluruh negara dijangka memeriahkan sambutan kali ini. Pelbagai pengisian dan aktiviti diadakan sepanjang sambutan tiga hari itu termasuk karnival jual murah barang keperluan, jualan makanan, pameran, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta persembahan artis-artis terkemuka kelahiran Felda.-- Bernama