PETALING JAYA: Lagu nyanyian jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida terus menjadi kegilaan ramai tanpa mengira usia. Walaupun lagu bertajuk ‘I Am Me’ disindir segelintir pihak sebagai ‘Ayam Mi’, tetapi semakin banyak parodi dibuat selepas klip video single pertama Vida dilancarkan minggu lalu. Terbaharu, lagu yang kedengaran 'catchy' ini dimainkan semasa sesi senamrobik di sebuah sekolah rendah. Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook ‘Krul Nizam’, lagu ‘I Am Me’ itu dimainkan di kawasan lapang yang menghimpunkan sekumpulan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tagaroh di Kota Marudu, Sabah. Malah, video berdurasi kira-kira seminit itu turut dikongsikan Krul Nizam di halaman Facebook ‘Kami Guru Malaysia’ pada petang Khamis. Menariknya, jurulatih senamrobik yang mengendalikan sesi berkenaan berbaju warna merah jambu, warna yang begitu sinonim dengan Vida. Setiap gerak tangan dan langkah jurulatih berkenaan diikut sekumpulan murid dengan diringi lagu Vida yang ceria dan bertenaga. “Senamrobik awal pagi dengan iringan lagu Datuk Seri Vida,” kata Krul Nizam di laman sosial. Krul Nizam atau nama sebenarnya Mohd Kamarul Nizam Jeffrah, 33, ketika dihubungi mStar Online berkata, lagu Vida itu dimainkan dalam sesi senamrobik selama kira-kira 40 minit pada pagi Rabu. Mohd Kamarul yang juga guru SK Tagaroh berkata, sesi tersebut dikendalikan guru, Farid Liman, disertai lapan guru lagi dan kira-kira 250 murid. "Kami selalu mengadakan sesi senamrobik di sekolah, dan semalam antara lagu yang digunakan adalah 'I Am Me' nyanyian Datuk Seri Vida. "Lagu ini memang sesuai untuk senamrobik, kebanyakan guru dan murid memang sukakannya kerana mengikut rentak. Kami akan menggunakan lagu ini lagi untuk sesi senamrobik yang akan datang," kata Mohd Kamarul yang berkhidmat di SK Tagaroh selama lima tahun. Rata-rata pengikut di halaman Facebook tersebut terutama dalam kalangan guru-guru menyifatkan lagu nyanyian Vida sebagai idea yang menarik untuk digunakan bagi aktiviti memanaskan badan dan kecergasan seperti senamrobik di sekolah. Menurut salah seorang pengguna Facebook di ruangan komen, Zuraina Abdullah berkata: “Terbaik cikgu. Lupa nak buat macam ni masa PJ (Pendidikan Jasmani) pagi tadi. Minggu depan kita ‘warming up’ (memanaskan badan) macam ni.” Nurul Husna Badrul Huzaini pula berkata: “Okay, dapat idea dah untuk senamrobik nanti.” Video lirik berjudul 'I Am Me', ciptaan Edry Abdul Halim kini mencatatkan lebih sejuta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 13 Julai lalu.