suria

Aidilfitri, Puasa Enam Di Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Syawal sudah di penghujung tetapi belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua pembaca. Di Malaysia, tradisi rumah terbuka diteruskan menunjukkan semarak Aidilfitri dan kesinambungan silaturahim.

Saya menyambut kedatangan Syawal pada tahun ini di Tanah Suci Makkah. Alhamdulillah diundang sebagai tetamu-Nya sehari sebelum umat Islam meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa pada Ramadan.

Hasrat untuk berhari raya mula tertanam di hati saya sejak tujuh tahun lalu tetapi rezeki belum menyebelahi saya namun berkat doa dan kesabaran, Allah SWT mengundang saya sebagai tetamu-Nya pada tahun ini. Syukur tidak terhingga.


Saya merancang berpuasa enam di Tanah Suci bersempena kunjungan itu untuk menunaikan umrah dari 24 Jun hingga 6 Julai 2017 bersama-sama anak bujang serta dua sahabat perempuan. Kemeriahan hari raya di negara ini jelas berbeza dengan di Tanah Suci Makkah. 

Pengalaman menyambut Syawal di bumi Haramain begitu mengujakan. Minda saya hanya terfikir tidak ramai jemaah pada waktu itu seperti digembar gemburkan. Justeru, merancang untuk mengucup Hajar Aswad apabila berkesempatan.

Sangkaan saya meleset. Tidak seperti yang saya dengar kerana jutaan jemaah membanjiri Masjidil Haram untuk bersolat Subuh dan menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kebanjiran jemaah umpama ketika menunaikan ibadat haji. Dianggarkan tiga juta orang dan sebahagian besar adalah dari negara Arab, India dan Pakistan.

Ketika pulang ke hotel setelah menyempurnakan rukun umrah iaitu tawaf, saie dan tahalul, pada jam 1 pagi, iaitu pada malam hari raya, saya mengatakan kepada rakan-rakan, jemaah sudah mula ke masjid untuk bersolat Subuh walaupun azan pada jam 4.06 minit pagi.

Rupa-rupanya sangkaan saya silap kerana jemaah mula memenuhi ruang di dalam masjid seawal jam 2.30 pagi malah, semua pintu masuk ke Masjidil Haram sudah ditutup sepenuhnya pada waktu itu dan tiada lagi jemaah yang dibenarkan masuk. Mereka bukan saja mahu menunaikan solat Subuh tetapi mengambil tempat untuk bersolat sunat Aidilfitri.

Kebanjiran jemaah itu juga sekali gus menyebabkan jemaah terpaksa memenuhi dataran dan sekitar jalan raya, termasuk ruang lobi hotel penginapan mereka. Sehubungan itu, jika anda bercadang untuk menyambut Aidilfitri di Tanah Suci pada tahun hadapan atau masa-masa akan datang, pastikan anda bergerak ke masjid pada jam 1 pagi untuk mendapatkan tempat di dalamnya.

Jika tidak, anda akan jadi seperti saya yang akhirnya terpaksa bersolat di lobi hotel Haneen Firdaus yang terletak di kawasan Misfalah. Saya turut katakan kepada rakan dan kenalan di tanah air, tidak rugi menunggu lama di dalam masjid bagi mendapatkan tempat untuk bersolat Aidilfitri. Jika awal ke masjid, anda boleh tidur seketika dan menunaikan solat tahajud sementara menunggu solat Subuh dan seterusnya solat Aidilfitri.

Justeru, bawa sedikit bekalan kerana dikhuatiri anda lapar dan botol wuduk juga penting untuk membolehkan anda berwuduk lagi setelah terbatal atau tidur. Syawal di Makkah begitu sederhana. Suasana hari raya hanya dirasai ketika tabkbir bergema di Masjidil Haram sebelum solat Aidilfitri. Namun, setelah solat; semua jemaah bertebaran dan aktiviti ibadat dilaksanakan seperti sediakala. Ada yang bertawaf dan ada yang menyempurnakan rukun umrah.


Sebahagian besar bazar, kiosk dan kedai di sekitar hotel dan di dalam hotel bertaraf lima bintang dibuka sepenuhnya selepas solat Asar. Saya sempat meninjau kedai-kedai menjual pelbagai barangan dan sebahagian besar ditutup.

Bagi jemaah Malaysia, bahagian katering agensi pengendali umrah turut menyediakan hidangan lazim lebaran seperti nasi impit, rendang daging, kuah lodeh dan sambal kacang. Kuih-muih yang dibawa jemaah turut mengisi meja bufet di dewan makan, sekali gus tidaklah terasa rindu pada tanah air.

Pada sebelah tengah hari, saya dan rakan jemaah menerima undangan daripada kenalan yang bertugas di Makkah sejak berbelas-belas tahun. Sekembali ke hotel penginapan, kami bergegas semula ke masjid untuk solat berjemaah.

Saya mula berpuasa enam pada 2 Syawal dan menyempurnakannya secara berturut-turut. Mudah dan tidak banyak ‘godaan’ kerana di Tanah Suci tiada rumah terbuka dan sebahagian besar jemaah umrah merebut peluang untuk berpuasa pada hari raya kedua lagi.

Bersahur dengan dua keping roti, air zamzam dan tamar pada jam 3 pagi. Berpuasa di Tanah Suci agak panjang kali ini kerana imsak pada jam 4 pagi manakala berbuka puasa pada jam 7.10 malam.

Tidak dinafikan agak meletihkan kerana cuaca panas kering mencecah hampir 50 darjah Celcius pada siang hari. Namun, Alhamdulillah, puasa sunat Syawal dapat disempurnakan juga tanpa masalah. Saya memilih berbuka puasa di dalam masjid dengan minum air zamzam dan makan beberapa ketul kurma.

Namun, selesai solat Maghrib, saya dan anak membeli makanan di kedai berhampiran sama ada nasi, roti atau bakso. Oleh sebab lazimnya, pihak katering hanya menyediakan makanan selepas Isyak, ada baiknya jika mereka yang berpuasa membeli makanan di mana-mana kedai berhampiran masjid untuk mengalas perut.

Jika mahukan bakso, anda boleh menikmatinya di paras tiga, bangunan Abraj Al-Bait atau lebih dikenali sebagai Zamzam Tower. Kedai yang terletak agak tersorok menyediakan masakan Indonesia.


Saya dan anak bujang sering berkunjung ke situ untuk menikmati bakso yang berharga SR15 semangkuk. Nasi mandi, nasi beriani, nasi kabsah pula dijual kira-kira SR35 dan boleh dinikmati dua atau tiga orang. Anda boleh mendapatinya di medan makan hotel bertaraf lima bintang yang berhampiran Masjidil Haram seperti Hotel Hilton (di paras 2), Safwah Royale Orchid (paras 2), Zamzam Tower (paras 3 dan 4).

Jika jemu dengan nasi, anda boleh nikmati makanan segera di medan makan hotel berkenaan seperti Burger King, KFC, Taza, Hardees, Al-Bait dan Piza 8. Kepelbagaian makanan boleh didapati di Tanah Suci namun perbelanjaan perlulah mencukupi kerana kosnya agak tinggi.

Pesan saya, oleh sebab, setiap kuantiti makanan yang dibeli adalah banyak, usah dibuang jika tidak habis, simpan bakinya kerana boleh dinikmati pada esok hari untuk berbuka atau diberikan kepada mereka yang tidak berpuasa.

Masjidil Haram agak lengang selepas 3 Syawal dan ketika itu masa untuk bertawaf menjadi singkat, iaitu hanya kira-kira 20 minit pada siang hari atau pada waktu dhuha. Jika merancang untuk menunaikan umrah berikutnya, adalah dinasihatkan agar menyegerakan tawaf pada waktu pagi kerana selepas itu anda boleh berehat setelah bersaie dan bertahalul, apatah lagi jika berpuasa pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, hasrat saya mengucup Hajar Aswad tidak kesampaian kerana melihatkan jemaah dari Arab, India dan Pakistan yang berpusu-pusu serta berebut di kawasan berkenaan.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Aidilfitri, Hajar Aswad, bakso

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain