suria

Menantu TPM Diberi Suntikan Semasa Rawatan Gigi

KUALA LUMPUR: Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, diberikan suntikan oleh seorang lelaki semasa menerima rawatan pergigian di Pusat Pakar Pergigian Imperial di sini, tahun lepas.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pakar itu yang ditayangkan di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, Syed Alman Zain dilihat membaca dan menandatangani beberapa dokumen sebelum seorang lelaki masuk dan memberi suntikan ketika dia sedang berbaring di kerusi rawatan di pusat pakar pergigian itu.

Sebelum itu rakaman CCTV tersebut juga menunjukkan Syed Alman Zain memasuki premis berkenaan dan mendaftar nama sebelum dibawa ke bilik rawatan di pusat pakar pergigian itu.

Tayangan rakaman CCTV yang terkandung di dalam cakera padat digital (DVD) itu dihentikan pada minit 18:42 dan akan disambung pada Selasa di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Terdahulu, ASP Mohd Hanizan Md Wasli, 41, yang bertugas di D10 Audio Video, Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia, Cheras,  berkata rakaman CCTV itu disimpan di dalam dua keping cakera padat  (CD) dan sekeping DVD yang dibuat dalam bentuk klip video.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata beliau menerima kesemua CD dan DVD itu untuk dianalisis bagi mengeluarkan gambar, video dan audio daripada rakaman itu.

"Saya menerima dua keping CD dan sekeping DVD, setiap CD itu mengandungi 471 klip video dan 510 klip video yang memaparkan pergerakan mangsa di pusat pergigian itu," katanya pada perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O and G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O and G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62  and  64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 38, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Gantung Buai Bahaya - MRT

Artikel Lain