GEORGE TOWN: Seni jalanan di Pulau Pinang, terutamanya muralnya yang terkenal telah menjadi sasaran vandalisme baru-baru ini. Pengarah Jabatan Warisan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Noorhanis Noordin berkata, lukisan mural dan patung-patung logam jalanan di sepanjang jalan tumpuan pelancong, Armenian Street, Acheen Street dan Jalan Kampung Kolam sering menjadi sasaran perbuatan vandalisme. "Majlis telah membelanjakan kira-kira 25 peratus dari peruntukan penyelenggaraan tahunan RM100,000 untuk memulihkan seni jalanan yang dirosakkan tahun ini. "Kami biasanya akan mengeluarkan kesan atau tanda yang tidak diingini sebelum menghubungi pelukis untuk datang dan membantu memulihkan bahagian yang rosak," katanya, Selasa. Noorhanis menambah, majlis itu merancang untuk menempatkan kamera litar tertutup tambahan di sepanjang jalan yang mempunyai seni jalanan ini. Gambar kanak-kanak di atas sebuah motosikal di Armenian Street telah diconteng, dicurahkan dengan kari dhal. Peniaga juga telah melekatkan sticker produk mereka di bahagian dinding seni ini. Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) Rosnani Mahmod berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan vandalisme berkaitan mural atau mercu tanda.