suria

Suspek Liwat Pelajar Ditemui Mati Gantung Diri

Gambar hiasan.

IPOH: Seorang lelaki disyaki meliwat beberapa pelajar sekolah ditemui mati di sebuah bilik hotel di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, seorang pekerja hotel menghubungi polis pada kira-kira pukul 5.40 petang Selasa.

Beliau menambah, suspek berusia 54 tahun itu ditemui mati menggantung diri di sebuah bilik.

Kata Tian Kee, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu siasatan lanjut.

"Berhubung kes liwat, kami menerima laporan pada 24 Julai lalu daripada seorang lelaki yang ditemani dua rakannya berusia 14 sehingga 15 tahun.

"Mereka membuat laporan mendakwa telah diliwat oleh jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak di sekolah mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu dari Mei 2016 sehingga Mei 2017 di rumah suspek dan hotel.

Menurut Tian Kee, suspek akan memberikan sebiji pil kepada mangsa, dengan mendakwa ia akan menjadikan badan lebih kuat.

"Selepas menelan pil berkenaan, mangsa berada dalam keadaan separuh sedar dan kemudiannya diliwat suspek.

"Mangsa kemudian dibawa keluar untuk membeli baju, seluar, kasut dan telefon bimbit bagi menutup perbuatannya.

"Kita masih mengenal pasti mangsa-mangsa lain yang mungkin dicabul suspek," katanya.

Artikel Berikut

Budak 7 Tahun Didakwa Rogol?