suria

Kak Ain Bangkit Selepas Pelbagai Bisnes Lingkup

PETALING JAYA: Siapa sangka wanita yang menjual nasi lemak sambil mendukung anaknya berdekatan stesen minyak Petronas di tepi MRR2, Ampang dulunya pernah menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Namun malangnya, perniagaan barang kemas wanita cekal bernama Nur Ain Kodir, 30, ini lingkup selepas semua barangan jualan dicuri ketika rumahnya dipecah masuk.

"Saya dulu buat bermacam-macam bisnes. Saya jual barang kemas secara online, buat dropship dan berniaga di bazar larut malam, Rampai Bazaria tapi satu persatu bisnes saya mula jatuh.

"Paling terkesan apabila barang kemas jualan saya dicuri ketika rumah dipecah masuk. Belumpun sempat nak rolling duit, segalanya musnah. Bisnes saya muflis," katanya kepada mStar Online.

Menurut ibu kepada lima anak itu, dia kini terpaksa menanggung kerugian dan bebanan hutang lebih RM30,000.

"Amat sukar nak naik balik selepas jatuh. Tapi saya terpaksa bangkit demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak dan juga keluarga," katanya.

Berbekalkan niat mahu mengubah nasib keluarga, wanita dari Tanah Merah, Kelantan itu memulakan perniagaan menjual nasi lemak berharga RM1 sejak tiga minggu lalu.

Kegigihan Nur Ain membawa bersama tiga anaknya yang masih kecil mendapat perhatian netizen sehingga kisahnya mencari tular di laman media sosial.

Berkat usaha gigihnya, wanita itu akhirnya berjaya menjual kira-kira 300 bungkus nasi lemak setiap hari.

Ada kisah disebalik kegigihan wanita ini.

Jelas Nur Ain, dia perlu mencari wang sendiri untuk melunaskan bayaran pinjaman bank setiap bulan dan tidak mahu menyusahkan suaminya, Mohd Faizal Tumiran yang bekerja sebagai pelayan restoran.

"Gaji suami digunakan untuk menyara mereka sekeluarga termasuk membayar sewa rumah dan semua bil bulanan. Alhamdulillah, pendapatan itu tidaklah banyak tapi sekurang-kurangnya pinjaman dapat dibayar sedikit demi sedikit," katanya.

Nur Ain berkata dia terpaksa membawa bersama tiga anaknya yang masing-masing berusia enam, tiga dan setahun itu kerana tiada siapa yang dapat menjaga mereka di rumah.

"Suami dah pergi kerja jadi tak ada siapa yang boleh jaga mereka di rumah. Lagipun anak bongsu masih menyusu badan, jadi saya tiada pilihan selain menggendongnya sambil berniaga," katanya.

Mengulas lanjut mengenai nasi lemaknya yang viral, Nur Ain berkata dia bangun seawal pukul 1 pagi untuk menyediakan juadah tersebut.

"Memandangkan saya ada anak kecil, saya akan mula memasak pukul 1 pagi setiap hari. Saya akan mula berniaga pada pukul 7 pagi dan petang berdekatan stesen minyak tersebut," katanya.

Orang ramai beratur untuk membeli nasi lemak Nur Ain.

Meskipun nasi lemak itu mendapat permintaan yang menggalakkan selepas kisahnya viral, Nur Ain berkata dia hanya boleh menyediakan kira-kira 300 bungkus setiap hari.

"Dulu saya hanya boleh jual 200 bungkus sehari tapi sekarang 300 pun tak cukup. Saya hanya buat setakat yang mampu kerana tiada pembantu," katanya.

Ditanya mengenai harapannya selepas ini, wanita cekal itu berazam untuk mengembangkan perniagaannya dan mencari lokasi yang lebih strategik dan selamat untuk anak-anaknya.

"Kalau bolah saya tak nak berniaga macam ni sebab bahaya untuk anak-anak tapi itu sahaja pilihan yang saya ada ketika ini. Tapi siapa tahu ada rezeki yang lebih baik selepas ini," katanya.

Selepas kisahnya menjadi tular di media sosial, pihak pengurusan Stesen Petronas MRR2 Ampang mengambil keputusan untuk menjual nasi lemaknya di dalam premis mereka.

Orang ramai yang masih belum berkesempatan membeli dan merasai sendiri keenakan nasi lemak Nur Ain boleh mendapatkannya di dalam stesen minyak tersebut bermula pagi Ahad.

Penyelia stesen minyak itu, Emmawati Tafid ketika dihubungi mStar Online mengesahkan pihaknya akan mula menjual nasi lemak tersebut di premis mereka bermula pagi Ahad.

Jelasnya, ia adalah sebagai satu usaha untuk membantu meringankan beban wanita tersebut.

Nur Ain Kodir, nasi lemak viral

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain