SERI KEMBANGAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan lima skim baharu bagi golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk bantuan tahunan untuk veteran tidak berpencen dan skim anuiti. Berkongsi berita gembira itu di hadapan lebih 15,000 veteran ATM pada Perhimpunan Veteran ATM sempena pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di sini, Najib mengumumkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) yang akan dijadikan sebagai bantuan permulaan daripada kerajaan khas kepada veteran ATM tidak berpencen. "BBN ini merupakan bantuan tahunan kepada veteran ATM tidak berpencen untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosioekonomi mereka,” katanya pada perhimpunan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) itu. Lapor Bernama, Najib berkata, skim BBN itu adalah lanjutan daripada pengenalan skim kepada veteran ATM yang diperkenalkan pada 2013 iaitu Skim Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia. "Perkara ini diteruskan bagi memastikan nasib Veteran ATM yang tidak berpencen akan terus dibela oleh kerajaan. Pengenalan BBN ini merupakan satu bentuk mekanisme baharu bagi kerajaan untuk membantu golongan Veteran ATM yang berpendapatan rendah dan tidak berpencen tanpa membebankan sumber kewangan kerajaan sedia ada," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin pada perhimpunan itu. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Kempen Tabung Pahlawan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Affendi Raja Mohamed Noor dan Presiden Persatuan Veteran ATM, Senator Laksamana (B) Tan Sri Anwar Mohd Nor. Menurut Najib, syarat penerima BBN pada asasnya adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu mereka yang berada di bawah kelompok B40, di mana sebanyak RM1,200 akan diberikan kepada 66,000 Veteran ATM Tidak Berpencen berdasarkan senarai penerima BR1M. "Bagi Veteran ATM Tidak Berpencen yang bukan penerima BR1M pula, mereka akan menerima RM600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas. Untuk ini, seramai 10,959 Veteran Tidak Berpencen yang berusia di atas 60 tahun pada tahun 2017 akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN," katanya. Mengumumkan inisiatif kedua yang dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe), Najib berkata ia bertujuan memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran ATM tidak berpencen sepertimana veteran yang mendapat pencen bulanan.