suria

Adakah Malaysia Akan Sepanas Eropah, AS?

PETALING JAYA: 'Panas' adalah perkataan yang sering berada di minda kita sekarang, termasuklah mereka yang berada di seluruh Eropah dan sebahagian Amerika Syarikat.

Suhu di Britain dijangka meningkat setinggi 32°C minggu depan, manakala suhu di beberapa bahagian di Itali melonjak melebihi 40 ° C, menurut laporan, Selasa.

Walaupun Malaysia tidak terjejas secara langsung oleh gelombang panas di hemisfera utara dunia, namun ia tetap tidak terlepas daripada kesan musim kering monsun barat daya tahunan, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Bagaimanapun, cuaca panas di sini sekarang tidak seburuk El-Nino tahun 2014 dan 2015," kata ketua pengarah JMM Alui Bahari, Selasa.

Monsun barat daya bermula pada 17 Mei dan dijangka berterusan sehingga September.

Alui berkata suhu tertinggi yang direkodkan setakat tahun ini bukan berlaku dalam tempoh kering ini.

"Ia dicatatkan pada 18 Mac di Chuping, Perlis dengan suhu 36.9 ° C. Rekod suhu tertinggi dalam sejarah Malaysia ialah 40.1°C, juga di kawasan yang sama," katanya.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Fredolin Tangang menjelaskan bahawa gelombang panas di Eropah dan Amerika Syarikat adalah 'normal' untuk tahun ini.

"Bagaimanapun, sistem cuaca di Malaysia adalah berbeza dari Amerika dan Eropah. Musim kering kita berkait dengan musim tengkujuh," katanya.

Sementara itu, walaupun Semenanjung Malaysia dan Sarawak dijangka menerima kadar hujan yang kurang berbanding biasa pada tempoh ini, Sabah dijangka menerima lebih banyak hujan.

Tangang juga memberi amaran tentang kemungkinan peningkatan kebakaran hutan.

"Kami ada laporan mengenai kebakaran di Sumatera.

"Ini adalah musim kering dan panas yang agak tipikal walaupun pada tahun ini, musim monsun barat daya lebih lembab berbanding sebelum ini," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa terdapat 170 titik panas di seluruh Indonesia pada pertengahan Julai, kebanyakannya di Aceh, Nusa Tenggara Timur dan Kalimantan Barat.

Berdasarkan peta terbaru Sistem Peringkat Bahaya Kebakaran di bawah Kod Kandungan Kelembapan Bahan Bakar Halus, selatan Sumatra, Kalimantan Barat dan sebahagian besar Sabah dan Sarawak berada dalam warna merah.

Merah mewakili 'melampau', yang tertinggi dalam skala yang mana kebakaran padang rumput dan semak mudah berlaku.

Tetapi Alui berkata hujan pada bulan Ogos yang dijangka melebihi Julai, membantu melemahkan risiko kebakaran.

"Keadaan ini tidak membimbangkan. Walaupun begitu, perlu ada penguatkuasaan untuk mencegah pembakaran terbuka, "katanya.

musim panas, panas global

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain