suria

RUU Pinda Akta 164 Yang Baharu Dibentang Esok

Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) yang baharu di Dewan Rakyat, Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata rang undang-undang itu bagi menggantikan rang undang-undang sama yang dibentang untuk bacaan kali pertama pada November tahun lepas.

"Kerajaan telah meminda rang undang-undang tersebut untuk dibacakan kali pertama dan dibahaskan dalam sidang kali ini dengan menggugurkan Fasal 88A.

"Notis pemberitahuan terhadap rang undang-undang yang baharu telah dihantar kepada Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan media, di sini Isnin.

Terdahulu hari ini, Azalina berkata kerajaan telah menarik semula pindaan pertama Akta 164 yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin.

Pindaan baharu dengan menggugurkan Fasal 88A pada akta berkenaan dibuat bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral (persetujuan sebelah pihak).

"Pindaan ini dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin stare decisis di mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat," katanya.

Azalina berkata, kerajaan berharap semua pihak mengambil perkara itu secara positif demi memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat negara ini.

"Justeru semua pihak diharap menyokong rang undang-undang baharu ini dan tidak mempolitikkan isu ini," katanya. - Bernama

Artikel Lain