suria

Rezeki Kejutan ‘Explorace Cinta’

Wahida menerima hadiah ulang tahun pertama perkahwinannya.

PETALING JAYA: Kejutan yang dibuat seorang suami terhadap isterinya menerusi permainan ‘Explorace Cinta’ sempena ulang tahun perkahwinan pertama pasangan itu nampaknya menjadi.

Usaha wanita ini yang berjalan dari bilik tidur ke ruang tamu dan dari tingkat bawah ke tingkat atas rumah berpandukan beberapa petunjuk dibuat suami amat berbaloi.

Menerusi video yang tular di media sosial, ‘harta karun’ yang dijumpai si isteri berupa sebuah cermin mekap berlampu yang dilabel sebagai 'Cermin Explorace Cinta’.

Syarifah Wahidayah Syed Ahmad, 24, berkata, hadiah itu begitu diidamkannya sekian lama selepas melihat cermin seperti itu digunakan seorang jurumekap terkenal, Bellaz.

Namun hasrat itu dipendamkan sahaja kerana harga yang dijual di pasaran agak mahal dan dia mahu menumpukan kepada perbelanjaan lain yang lebih penting.

“Tapi saya benar-benar tak sangka suami hadiahkan saya cermin mekap berlampu ni. Seronok sangat. Paling tak sangka bila cermin tu dia yang sendiri buat.

“Tak tahu pula suami pandai bertukang sebab perkenalan kami tak lama sebelum kahwin. Tunang pun sekejap 20 hari saja,” katanya kepada mStar Online.

Ulang tahun perkahwinannya bersama suami, Syed Mohd Hafiz Tuan Ahmad Amarullah, 32, jatuh pada 29 Julai lalu, tetapi sesi permainan itu dibuat pada Sabtu lepas.

Wahida (kanan) bersama Hafiz (kiri) dan anak mereka semasa sambutan ulang tahun pertama perkahwinan baru-baru ini. Foto Facebook Syarifah Wahida Al-Yahya

Dia yang lebih dikenali sebagai Wahida berkata, suaminya pernah pulang lewat dari tempat kerja beberapa hari sebelum kejutan ‘Explorace Cinta’.

“Saya tertanya-tertanya sampai bising-bising, tapi suami sabar saja dan kemudian barulah dia jelaskan hari tersebut sebenarnya dia pergi cari barang-barang untuk buat cermin. Bila tahu, memang terharu sangat,” katanya.

Video ‘Explorace Cinta’ itu yang dimuat naik di laman sosial tular sehingga ramai bertanya untuk mendapatkan cermin mekap berlampu buatan suaminya.

“Selepas dapat anak, kami pernah terfikir untuk mencari pendapatan sampingan, malah suami ada merancang untuk membuka gerai burger.

“Kami buka tempahan cermin, tak sangka ramai berminat. Bulan ni sahaja dah dapat 300 tempahan. Alhamdulillah, ni semua rezeki ‘explorace cinta’,” katanya sambil menambah mereka dikurniakan cahaya mata berusia tiga bulan, Syed Aryan Mikael.

Wahida menyifatkan suaminya seorang yang penyayang dan penyabar.

Disebabkan permintaan di luar jangkaan, tempahan bagi bulan Ogos terpaksa ditutup kerana suaminya sahaja buat masa ini yang menghasilkan cermin tersebut.

“Bagaimanapun, rezeki jangan ditolak. Kalau memang ramai yang mahu menempah, kami akan mendapatkan pekerja bagi membantu suami,” katanya.

Walau dengan perkenalan begitu singkat dan memutuskan untuk berkahwin, Wahida menyifatkan suaminya seorang yang pandai mengambil hatinya, penyabar dan penyayang.

Mengenai kejutan buat suami, Wahida berkata: “Sesuatu akan dibuat, idea dah ada. Bila dah reda kejutan ‘Explorace Cinta’, suami nantikan pula kejutan daripada saya ya!.”

explorace cinta

Artikel Berikut

Artikel Lain