suria

Bekas Pesakit Kanser Sahut Cabaran Daki Gunung Tertinggi

Najib menyerahkan Jalur Gemilang kepada Peserta Kembara Srikandi Prihatin pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang tersebut di Menara Datuk Onn pada Rabu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengalaman menghidap kanser payudara selama tujuh tahun tidak sedikit pun mematahkan semangat bekas pesakit kanser, Ren'ee Aziz Ahmad, untuk menyertai misi mendaki Gunung Elbrus di Rusia bermula 23 Ogos ini.

Ren'ee, seorang daripada enam peserta Kembara Srikandi Prihatin untuk misi mendaki puncak gunung itu, berkata beliau mahu membuktikan bekas pesakit kanser juga  mampu menjalankan aktiviti lasak seperti orang lain.

“Apabila dipilih untuk menyertai misi itu, saya amat  gembira kerana gunung itu satu daripada idaman pencinta aktiviti ekstrem kerana ia gunung tertinggi di Eropah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada para peserta Kembara Srikandi Prihatin di sini Rabu.

Ren'ee, 56,  berkata persediaan misi mendaki itu bermula sejak Disember lepas dengan semua peserta menjalani 'High Intensity Training' seminggu sekali selain menjalani rutin latihan bersama jurulatih peribadinya di gimnasium untuk meningkatkan keupayaan fizikal.

Beliau sebelum ini pernah mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada 2005, yang merupakan gunung tertinggi di Benua Afrika, dan Gunung Aconcagua, Argentina iaitu gunung tertinggi di benua Amerika Selatan pada 2007.

Selain Ren'ee, misi pendakian ke gunung berketinggian 5, 642 meter itu turut melibatkan anggota Puteri Umno Nurul  Huda Shamsuddin, 31, dan Nir Azmin Adnan, 34,  wartawan akhbar Harian Metro Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35, selain anggota Persatuan Kembara Negara, Fazilah Abd Manan, 41, serta Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30.

Ekspedisi anjuran Persatuan Kembara Negara dengan kerjasama Pergerakan Puteri Umno itu adalah acara kemuncak Kempen Kembara Srikandi Prihatin yang diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar dan lasak selain membawa misi mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus pada 31 Ogos ini bersempena Hari Kebangsaan.

Para peserta akan melakukan pendakian dari 23 Ogos hingga 5 September depan.

Sementara itu Ummu Farah berkata ekspedisi ke Gunung Elbrus itu dijangka berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca sejuk yang boleh mencecah sehingga 14 darjah celcius, sekali gus membawa risiko penyakit akut gunung.

Ummu Farah yang juga pengurus di sebuah syarikat swasta telah menawan lebih 20 puncak gunung antaranya Gunung Merapi dan Gunung Kerinci di Indonesia serta Gunung Kinabalu dan Gunung Angsi. - BERNAMA

pesakit kanser, Gunung Elbrus

Artikel Lain