KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) yakin kesemua bakal jemaah haji termasuk 67 bakal haji yang bermasalah visa (BHBV) dan 15 anggota keluarga mereka, yang masih terkandas ketika ini akan berlepas ke Tanah Suci sebelum penerbangan akhir 26 Ogos ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hingga pagi ini, sebanyak 63 penerbangan dengan lebih 23,700 jemaah telah berlepas ke Arab Saudi. "Sebahagian besar masalah BHBV ini sudah diselesaikan dan mereka telah berlepas ke tanah suci secara berperingkat selain kita juga mendapat kerjasama baik daripada kedutaan Arab Saudi di Malaysia dalam menyelesaikan masalah ini," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis. Beliau menjawab pertanyaan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) yang ingin tahu punca dan langkah segera kerajaan dalam menyelesaikan masalah jemaah haji yang terkandas berikutan kelewatan pengeluaran visa Arab Saudi. Beliau berkata masalah kelewatan visa tersebut bukan sahaja berlaku dalam kalangan bakal jemaah haji di negara ini malah dari negara lain berikutan proses pelaksanaan permohonan visa secara dalam talian yang dilaksanakan Arab Saudi. "Proses kelulusan visa perlu melalui tiga saluran kelulusan utama iaitu sistem 'e-Hajj', Muassasah dan Mofa (Kementerian Luar) yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Arab Saudi dan ia luar kawalan TH. "Tahun ini juga berlaku peningkatan jemaah haji dari seluruh dunia dan mereka juga turut menggunakan sistem sama, mengakibatkan berlaku kegelinciran pemprosesan visa," katanya. Jamil Khir berkata bagi memastikan perkara tersebut dapat ditangani dan tidak berulang pada masa akan datang, kerajaan akan mengemukakan masalah tersebut dalam sesi mesyuarat bersama kerajaan Arab Saudi selepas musim haji selesai. "Biasanya selesai musim haji, kerajaan Arab Saudi akan menjemput setiap negara menghadiri mesyuarat khas bersama kerajaan itu dan kita akan bawa isu ini," katanya. Sementara itu, katanya dalam menyelesaikan masalah jemaah yang masih terkandas, TH telah mengambil langkah mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan Arab Saudi di sini, selain mewujudkan pasukan petugas khas dan bilik maklumat untuk bakal haji bermasalah visa. "TH juga turut menjaga kebajikan jemaah yang terkandas ini dengan menyediakan penginapan dan makan minum di Kompleks TH, Kelana Jaya dan hotel berdekatan. "Kapasiti pesawat daripada muatan 278 penumpang menerusi Boeing 777 juga ditingkatkan kepada Airbus 330 dengan muatan 420 penumpang bagi membolehkan jemaah haji bermasalah di bawa ke Tanah Suci secara berperingkat (selepas mendapat visa)," katanya.-- Bernama