PETALING JAYA: Siapa kata kalau bersanding di rumah kampung pelaminnya pun perlu ala kadar. Tanggapan itu nyata sudah lapuk kerana pasangan pengantin yang bersanding di kampung pun sebenarnya boleh menjadi raja sehari dengan duduk di pelamin gah, seolah-olah ia dilangsungkan di dewan atau hotel. Ahmad Rasidi Md Idris, 26, atau lebih dikenali sebagai Eddy adalah antara individu yang mampu merealisasikan keinginan bakal pengantin, khususnya di luar bandar untuk merakamkan hari bahagia mereka berlatarbelakangkan pelamin indah. "Majlis 'depa' (mereka) kan sekali seumur hidup, saya cuba cantikkan pelamin walaupun bajet sederhana. "Lagipun saya 'wedding planner' kampung saja," katanya merendah diri ketika dihubungi mStar Online. Pelamin rekaan Eddy tular di media sosial baru-baru ini kerana dia berjaya melakukan transformasi menakjubkan di bahagian ruang tamu sebuah rumah di Kampung Chepir, Sik, Kedah dengan hiasan pelaminnya yang indah. Menurut anak kelahiran Kelantan ini, tidak seperti di bandar, menghias pelamin di rumah kampung lebih mencabar disebabkan beberapa faktor. "Paling penting kena tutup semua bahagian di atas, bawah, kiri dan kanan. Untuk tutup siling dan dinding saya gunakan kain 'jersi' dan untuk lantai saya hamparkan permaidani. "Memang agak mencabar berbanding buat pelamin di dewan atau hotel, tapi bila tuan rumah suka dengan sentuhan saya, itulah kepuasan saya," kata graduan Universiti Sains Malaysia ini. Katanya, sebelum memasang pelamin dia akan melawat rumah pengantin terlebih dahulu untuk melihat ruangnya dan datang semula bersama tiga rakan yang membantu kerja-kerja pengubahsuaian sehari sebelum majlis berlangsung. "Biasanya lebih kurang tiga jam pelamin sudah dapat disiapkan," katanya yang pernah bekerja dengan perancang perkahwinan terkenal, Nas Great Idea. Bagaimanapun katanya, satu kelebihan rumah kampung adalah ruangnya yang biasanya luas dan tidak banyak perabot perlu dialihkan. "Bila dah siap pasang dan hias pelamin, kita akan pastikan lampu dan pencahayaannya sesuai sebab ia memainkan peranan penting untuk menyerlahkan pelamin dan suasana," katanya. Eddy berkata, apabila memilih mencari rezeki di luar Kuala Lumpur, tidak dapat dinafikan harga menjadi ukuran bagi pelanggan apabila mahu menempah pelamin atau pakej perkahwinan dengannya. "Saya faham harga di sini tak boleh letak macam di bandar, tapi setiap pengantin pasti impikan pelamin yang cantik. "Sebab itulah pelamin saya tak letak harga mahal, kalau harga RM1,800 untuk pelamin yang viral tu pun dah kira Ok dah," katanya. Eddy berkata, setakat ini dia mempunyai dua butik pengantin, Butik Pengantin Setia, masing-masing terletak di Sik dan Gurun, Kedah. Dia mengakui sejak gambar-gambar pelaminnya tular, ramai yang menghubunginya untuk bertanyakan lebih lanjut tentang pakej-pakej perkahwinan yang ditawarkan. "Ada dari P.Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang dan banyak lagi. "Disebabkan kita menjaga kualiti, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum bersetuju dengan tempahan," katanya.