PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dua surat yang ditulis exco kerajaan negeri itu, Phee Boon Poh, meminta agar tiada tindakan dikenakan terhadap sebuah kilang haram. Surat tersebut yang ditulis pada 2015 dan 2016 mengarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang memproses penapis karbon yang beroperasi secara haram lebih 10 tahun. SPRM turut menyiasat sama ada Boon Poh atau pegawainya meluluskan surat tersebut. Ketika Boon Poh dan dua pengarah syarikat tersebut direman pada Sabtu, SPRM dijangka memanggil seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP untuk disoal siasat. SPRM dipercayai akan menyiasat peranan Adun tersebut dalam kes berkenaan. Difahamkan SPRM juga akan menyiasat hubungan antara Booh Poh dan juga pemilik kilang tersebut. Suruhanjaya itu mahu mengenal pasti bagaimana kilang itu boleh beroperasi secara terbuka meskipun menerima aduan daripada penduduk berhampiran. "Kilang haram itu beroperasi di atas ladang kelapa sawit. Kami mahu tahu mengapa ia boleh beroperasi tanpa sebarang tindakan (diambil)," kata sumber kepada The Star. Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata mereka akan menjalankan siasatan menyeluruh dan meneliti pelbagai sudut berkaitan kes itu. Katanya, siasatan akan memberi tumpuan kepada elemen penyalahgunaan kuasa. "Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM. "Kami akan meneliti sama ada seorang suspek memberi perlindungan kepada kilang haram itu untuk membolehkan ia beroperasi sejak 10 tahun lalu," katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. Sumber berkata pengawai SPRM singgah semula ke rumah Boon Poh di Sungai Puyu untuk mencari lebih banyak bukti bagi membantu siasatan. Namun tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sebarang dokumen dirampas. Rumah dan pejabat dua lagi suspek lain turut akan digeledah semula bagi membantu siasatan kes itu. Lebih banyak tangkapan akan dibuat beberapa hari lagi kerana siasatan terhadap kes itu diperluaskan.