PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan rayuan terhadap pembatalan reman selama lima hari ke atas exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram yang dibenarkan Mahkamah Tinggi negeri itu pada Isnin. "SPRM menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang telah membatalkan tempoh reman terhadap Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, Sabtu lalu. "Namun SPRM tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM. Menurut kenyataan itu, SPRM memandang serius perkara tersebut kerana keputusan berkenaan telah menjejaskan siasatan berhubung penglibatan Phee dan dua lagi suspek dalam operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti. Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Puyu ditahan SPRM kira-kira pukul 3 petang ketika sedang memberi keterangan berhubung isu sebuah kilang haram memproses abu kayu di Kampung Sungai Lembu, Permatang Pauh yang beroperasi lebih dari 10 tahun. Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas sebuah kilang haram terbabit. Perintah reman sehingga 16 Ogos ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Ameera Mastura Khamis selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini.