suria

Nothing To Hide 2.0: Tujuh Lagi Ditahan

PETALING JAYA: Tujuh lagi ditahan berhubung kekecohan pada program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad lalu.

Suspek berusia antara 20 dan 30 tahun, ditahan pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah yang ditahan kini seramai 10 orang.

"Kami akan membuat permohonan reman terhadap penahanan terbaharu hari ini.

"Kita percaya mereka mungkin terlibat dalam kekecohan pada forum tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Fadzil berkata, polis sedang mencari lebih ramai individu bagi membantu siasatan.

"Kita juga menyiasat dari aspek rusuhan termasuk penggunaan suar semasa kekecohan itu," katanya.

Ditanya mengenai laporan bahawa tiga lelaki yang ditahan pada Ahad lalu dibayar sebanyak RM50, Fadzil berkata, polis masih menjalankan siasatan.

Beliau menambah, polis telah memeriksa video yang diambil pada majlis tersebut.

Tiga lelaki, masing-masing berusia 17, 18 dan 19 tahun ditahan pada Ahad lalu selepas forum dan direman selama empat hari.

Program Nothing to Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam yang pada mulanya berjalan lancar terpaksa dihentikan selepas kasut, kerusi, suar, selipar dan botol air dibaling ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki Gersang Cabul Gadis

Artikel Lain